Man Keedal (kiri) dan Kidd (kanan) pada Sidang media 7 Vibrato Gitar. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Man Keedal (kiri) dan Kidd (kanan) pada Sidang media 7 Vibrato Gitar. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Tiada isu berbangkit dan seronok digandingkan bersama atas pentas dalam Konsert Tujuh Vibrato Gitar pada 3 November ini.

Demikian menurut pemain gitar terkenal, Man Keedal dan Kid Search yang ditemui pada sidang media konsert terbabit di sebuah hotel di ibu kota semalam.

Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib, 55, yang juga pemain gitar Search berkata, mereka yang masing-masing berpengalaman luas dalam industri tiada masalah untuk terbabit dalam konsert ini.

"Ini bukanlah satu masalah atau halangan. Kami sangat profesional dan tiada isu. Ini adalah atas platform individu dan bukan kumpulan. Tiada isu berbangkit. Kalau ia pun jadi benda negatif, itu satu tindakan tidak tepat dan kebudak-budakan.

"Tak perlu pun sesiapa nak terasa. Harap-harap tak berlakulah begitu. Saya sedar perkara-perkara begini. Kadang-kadang ada sahaja perkara yang berlaku.

"Tak tahulah sama ada ia kebetulan. Tapi setiap kali kami (Search) bergerak ada sahaja halangan tertentu," katanya kepada Harian Metro.

(DARI KIRI) Man Keedal, Shah, Muzza, Jo Branko, Kidd,  Anis Kalisa dan Jemboo pada Sidang media 7 Vibrato Gitar di Ideas Kuala Lumpur. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
(DARI KIRI) Man Keedal, Shah, Muzza, Jo Branko, Kidd, Anis Kalisa dan Jemboo pada Sidang media 7 Vibrato Gitar di Ideas Kuala Lumpur. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI

Menurutnya, Man Keedal, Hillary, Hamdan Bloodshed dan abangnya Nordin Taib adalah guitar hero kepadanya dan dia teruja dapat beraksi bersama individu terbabit.

"Dia satu generasi diatas dan bersama di atas satu pentas, saya sangat berbangga. Saya harap semua pihak sokong untuk kebaikan industri.

"Sebagai pemuzik profesional saya tak kisah pun abang Man ganti tempat saya dalam Search. Masing-masing cari makan," katanya.

Manakala Man Keedal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 60, berkata, usaha yang digerakkan oleh Jo Branko sesuatu yang baik.

"Saya ambil dalam perkara positif. Ini satu tanggungjawab. Mula-mula saya fikir juga, maksudnya saya perlu jaga kawan-kawan. Jaga hati semua. Tapi bila fikir positif ini tiada kena mengena dengan isu dalaman.

"Ini rezeki saya dan saya harus sokong mereka. Soal tugasan lain, saya harus teruskan yang mana mampu. Hubungan kami tetap baik dari dulu sampai sekarang.

"Dalam industri muzik kita harus berdiri sendiri. Tapi keperluan untuk keluarga juga saya harus ambil berat. Dengan gandingan ini, biar semua nampak sebenarnya kita tak seperti yang dikatakan," katanya.

Man Keedal berkata, kadangkala orang tidak faham dan tersalah tafsir.

"Konsert ini juga satu cetusan dan pembuka minda buat semua. P Ramlee ada berkata sedangkan lidah lagi tergigit. Kita buang yang keruh ambil yang jernih," katanya.

Konsert Tujuh Vibrato Gitar akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November ini.

Selain mereka , Tujuh Vibrato Gitar anjuran Big Stage Entertainment Channel turut menampilkan lima lagi pemain gitar iaitu Jo Branko, Shah Slam, Muzza, Jemboo Def Gab C dan Anis Kalisa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 1:02 PM