Kuala Lumpur: Polis tidak menolak unsur ketidakjujuran tugas dalam kalangan lima anggota dan pegawai yang ditahan kerana disyaki menculik seorang lelaki, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, demikian ketika mengulas mengenai motif empat anggota dan seorang pegawai kanan itu bertindak sedemikian.
Menurutnya, anggota dan pegawai terbabit mempunyai masalah kekurangan integriti sehingga menyebabkan perkara itu terjadi.
"Siasatan sudah selesai dijalankan. Motif kejadian dipercayai, mereka ada kepentingan diri dan kekurangan integriti.
"Kita sudah rakam percakapan semua yang terbabit dan akan serah kepada Bukit Aman, kita juga akan tunggu keputusan daripada mereka. Manakala suspek awam pula dibebaskan dengan jaminan polis," katanya selepas menyempurnakan program Back To School Ketua Polis Kuala Lumpur di Victoria Institution di sini, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, enam lelaki termasuk anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan berhubung dakwaan menculik penganggur dari kedai makan di Desa Petaling, di sini, Selasa lalu.
Individu berusia 27 hingga 42 tahun ditahan kelmarin, dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365/342/323 Kanun Keseksaan.