WALAUPUN masing-masing sibuk dengan kerja dan komitmen masing-masing, tetap ada masa untuk bersatu menjalani latihan. FOTO Nabila Adlina Azahari
WALAUPUN masing-masing sibuk dengan kerja dan komitmen masing-masing, tetap ada masa untuk bersatu menjalani latihan. FOTO Nabila Adlina Azahari
Syafil Syazwan Jefri


DERETAN lagu popular yang didendangkan oleh band popular Exists antaranya Jesnita, Julia, Mengintai Dari Tirai Kamar, dan banyak lagi masih kekal diminati sehingga kini.

Malah menjadi pilihan disiarkan di stesen radio bahkan sering mendapat tempat dalam kalangan pengunjung karaoke.

Exists bakal menghangatkan dua negeri di Borneo, iaitu di Pusat Konvensyen Borneo, Sarawak dan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Disember ini menerusi Konsert Exists Borneo Tour.

Pemain keyboard, Ajai, berkongsi keterujaan untuk tampil di dua negeri itu selepas lebih 20 tahun tidak hadir mengadakan konsert berskala besar di sana.

"Lebih 20 tahun kami tak muncul mengadakan persembahan di Borneo. Jadi, kami akan persembahkan lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama peminat.

"Ada juga lagu-lagu yang tak pernah dimainkan, tapi diminta oleh peminat. Jadi, kami akan persembahkan juga," katanya.

Tambah Ajai, lagu-lagu mereka juga berjaya menarik perhatian peminat generasi muda.

"Contohnya, di Hausboom sebelum ini. Kami mensasarkan kumpulan pendengar daripada generasi muda. Jadi, kami mainkan lagu-lagu rancak.

"Namun, mereka sebenarnya menunggu untuk kami mainkan lagu berentak perlahan. Jadi, walaupun budak-budak muda ini berpakaian mengikut trend terkini, mereka masih lagi membudayakan muzik Malaysia yang mana, akarnya tetap ke situ juga," katanya.

Ditanya mengenai latihan, Ajai berkata, mereka sudah mula menjalani latihan sejak dua minggu lalu.

"Kami dah jalani latihan sejak dua minggu lalu. Satu perkara yang saya boleh katakan mengenai Exists adalah, disiplin yang mana membuatkan kami kekal sebagai band.

"Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja dan komitmen masing-masing, tetap ada masa untuk bersatu menjalani latihan," katanya.

Exists bakal muncul di dua negeri Borneo bagi menjayakan Konsert Exists Borneo Tour.  FOTO Nabila Adlina Azahari
Exists bakal muncul di dua negeri Borneo bagi menjayakan Konsert Exists Borneo Tour. FOTO Nabila Adlina Azahari

Ditanya mengenai anggota yang akan tampil di konsert itu nanti, Ajai berkata, setiap anggota yang muncul membuat persembahan adalah nyawa kepada kumpulan itu.

"Paling utama, keberadaan barisan anggota inilah yang memberi nyawa kepada Exists. Setiap apa yang dibariskan di barisan hadapan setiap persembahan kami, itulah nyawa Exists.

"Ikatan itu sentiasa ada dan tak pernah ada sebarang pertelingkahan.

Bagi gitaris Exists, Along, ketiadaan Mamat kali ini ada sebabnya.

"Kita tak tampilkan barisan 'line up' 'reunion' kali ini. Jadi, sebab itulah Mamat tak ada bersama kami. Di konsert yang akan berlangsung pada 22 Disember di Kuala Lumpur, Mamat akan ada bersama.

"Peminat pun dah faham situasi di mana, akan ada konsert yang menampilkan Ezad, atau Mamat sahaja. Kami pun tak terikat apa-apa. Boleh jadi ada konsert yang menampilkan salah seorang dan ada yang berdua.

"Kami lihat juga kelapangan jadual mereka untuk tampil di sesuatu acara. Jadi, kami bagi kelonggaran dari aspek itu. Tapi, untuk Konsert Exists Borneo Tour, kalau penganjur ingin tampilkan Mamat bersama, jadi, kami akan tampilkannya," katanya.

Sementara itu, Musa selaku pemain bass berharap, konsert ini akan mendapat sambutan dan sokongan daripada peminat.

"Kami suka kalau tiket konsert dijual dengan harga murah sebab baguslah untuk penonton. Pada masa sama, kami kena fikirkan juga dari sudut penganjur kerana mereka perlukan keuntungan juga.

"Kalau penganjur tak dapat keuntungan, mungkin dia pun dah tak mahu menganjurkan acara konsert seperti ini lagi di masa akan datang.

"Jadi, diharap, peminat dapat memberi sokongan agar benda ini dapat berjalan dengan berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:01 AM