Azhari Muhidin.
Azhari Muhidin.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Berdedikasi dan ikhlas dalam pekerjaan adalah sifat Allahyarham Raymond Goh yang akan sentiasa dirindui warga kerja Media Prima Berhad (MPB).

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin berkata, pemergian penyampai berita Nightline itu disifatkan satu kehilangan besar buat dunia penyiaran.

"Saya sudah berkhidmat dengan arwah selama lebih 30 tahun dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada MPB.

"Kalau nak digambarkan sifat arwah sejak 30 tahun lalu hinggalah sekarang, arwah sangat peramah serta berdedikasi dalam bekerja. Sebelum ke udara, dia akan masuk kerja awal untuk meneliti kandungan berita yang akan dibaca.

"Allahyarham juga seorang yang komited dan sangat rapat dengan petugas di bilik berita," katanya.

Menurut Azhari, Raymond atau nama sebenarnya Muhammad Zaman Goh Abdullah turut tidak kedekut ilmu dalam berkongsi pengalamannya kepada generasi baharu.

"Arwah juga banyak menyumbang untuk membantu generasi atau pelapis baharu dengan mendidik dan mengajar kaedah pembacaan berita.

"Kami di MPB terutama bahagian Berita dan Ehwal Semasa sangat terkesan dengan pemergiannya," katanya.

Sementara itu, bekas rakan setugas Raymond, Zahir Kelvin Ong Abdullah menyifatkan industri penyiaran kehilangan seorang ikon hebat.

"Arwah bertugas di TV3 sejak 1986 dan ketika saya menyertai stesen penyiaran terbabit, dia adalah mentor saya. Dia sangat baik dan penyabar. Negara kehilangan seorang ikon dalam dunia penyiaran," katanya.

Terdahulu, Raymond menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. Selangor jam 10.43 pagi semalam selepas kira-kira dua minggu bertarung nyawa melawan kesan angin ahmar.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, jam 5.25 petang semalam.

Kelvin Ong.
Kelvin Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 11:49 AM