ABDUL RAHMAN IBRAHIM
ABDUL RAHMAN IBRAHIM
Malik Muhamad


BEKAS ketua jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim, 72, menyifatkan pemergian legenda bola sepak negara, Mohd Raimi Mohammed Jamil, 55, bagaikan hilangnya sebutir permata dalam sukan bola sepak negara.

Menurut Abdul Rahman, Allahyarham disifatkan insan yang sentiasa bekerja keras dalam melahirkan lebih ramai lagi pemain berbakat sebagai penjaga gol.

Malah, Abdul Rahman yang juga bekas jurulatih Allahyarham ketika membimbing skuad kebangsaan era 80-an turut mengakui sepasang tangan yang dimiliki arwah sukar ditandingi penjaga gol lain.

"Saya bekerjasama dengan arwah sudah lama, bukan sahaja bersama pasukan Terengganu bahkan juga ketika membimbing skuad kebangsaan termasuk mara ke pentas final temasya Sukan Asia Tenggara di Indonesia pada tahun 1987 dengan meraih pingat perak.

"Arwah bukan sahaja seorang pemain yang berbakat besar dalam sukan bola sepak bahkan berwibawa sebagai jurulatih. Cuma arwah belum sempat untuk melakukannya di peringkat lebih tinggi.

"Tetapi arwah selalu bertanya dengan saya hal berkaitan kejurulatihan, malah berjaya menubuhkan akademi bola sepaknya sendiri. Jadi kehilangannya cukup memberi kesan kepada kami,” katanya ketika di temui di Tanah Perkuburan Kesom Che Nordin Manir, dekat sini selepas selesai pengebumian Allahyarham Raimi semalam.

Rakan sepasukan Allahyarham dalam skuad kebangsaan dan Terengganu, Nasaruddin Yasin, 57, menyifatkan pemergiannya satu kehilangan besar buat Terengganu apatah lagi beliau adalah penjaga gol yang mempunyai bakat semula jadi dan berdisiplin tinggi di dalam padang.

"Arwah boleh dijadikan contoh seorang penjaga gol berkaliber dan mempunyai disiplin tinggi. Pemergiannya satu kehilangan besar buat negara," katanya.

Allahyarham Raimi yang pernah menubuhkan akademinya sendiri dengan nama Kelab Star Soccer Elite Team di Seberang Takir, dekat sini, juga pernah berguru bersama kelab Ipswich Town FC di England.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 petang kelmarin selepas 11 hari bertarung nyawa sebaik menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), 13 Mac lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 12:51 PM