MOHD Roshdi (dua kiri) bersama anak-anaknya, Riyadh Haziq (kiri) dan Raisya Hannah (tiga kiri), ibu mertuanya, Siti Nooriah Hasan  (tengah) dan adik iparnya, Siti Norhazlinda Kamarudin (empat kanan) menabur dan menyiram air bunga mawar di pusara Siti Nor Hafiza selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Aswadi Alias
MOHD Roshdi (dua kiri) bersama anak-anaknya, Riyadh Haziq (kiri) dan Raisya Hannah (tiga kiri), ibu mertuanya, Siti Nooriah Hasan (tengah) dan adik iparnya, Siti Norhazlinda Kamarudin (empat kanan) menabur dan menyiram air bunga mawar di pusara Siti Nor Hafiza selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Aswadi Alias
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Suami wartawan hiburan Fiza Kamaruddin, Mohd Roshdi Ramli menzahirkan rasa syukur apabila dapat menunaikan hajat terakhir isterinya untuk bercuti bersama keluarga di London.

Roshdi, 41, berkata, dia akan lebih terkilan dan sedih sekiranya tidak dapat merealisasikan hasrat terakhir isterinya itu.

"Sepanjang percutian arwah memang tidak menunjukkan sebarang petanda cuma sebelum kami berangkat ke London dia beritahu ini mungkin percutian terakhir.

"Dia beritahu kalau dia tak pergi, tak tahu bila mereka sekeluarga dapat bercuti bersama lagi.

"Alhamdulillah saya dapat tunaikan hasratnya dan meluangkan masa bersama keluarga melihat keindahan kota London," katanya selepas selesai urusan pengebumian Allahyarham Fiza.

Berkongsi momen terakhir bersama isteri, Roshdi berkata, dia dan anak-anak tidak sempat berada di sisi arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir.

"Saya dan anak tidak sempat berada di sisi semasa arwah sedang nazak. Kami hanya tinggalkannya 10 minit untuk makan, kemudian dimaklumkan arwah sudah tiada.

"Arwah seolah-olah tidak mahu kami melihat dia 'pergi'. Mungkin dia tak mahu kami bersedih," katanya.

Ditanya mengenai reaksi anak-anak apabila mendapat berita ibu tercintanya sudah menghadap Ilahi, Roshdi berkata, mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

"Mula-mula, memang agak sedih, tapi saya cuba tenangkan mereka… barulah mereka faham dan reda pemergian ibunya.

"Saya kena tunjuk kuat di depan mereka, kalau tidak mereka juga akan turut bersedih," katanya.

Dalam pada itu, majikan yang juga pemilik portal Boom dan Jurnal Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar bagi syarikatnya.

Malah, Norman memaklumkan Allahyarham Fiza adalah pekerja yang begitu berdedikasi menjalankan tugas sebagai pengarang berita.

"Arwah bersama kami lebih kurang setahun sejak Disember 2022. Dia sangat komited dengan kerja walaupun sedang bercuti di London, dia tetap memeriksa artikel.

"Kehilangan arwah sangat besar untuk kami kerana dia sentiasa inginkan yang terbaik untuk memajukan portal kami," katanya.

Terdahulu jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 12.50 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, hari ini.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di London dan tiba di tanah air pada kira-kira jam 7.30 pagi sebelum disolatkan buat kali kedua di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini pada jam 12.05 tengah hari.

Allahyarham meninggal dunia di London, Khamis lalu selepas rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heatrow, London untuk pulang ke tanah air selepas menghabiskan cuti selama dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 2:59 PM