Omar Ahmad


Johor Bahru: "Saya kehilangan seorang pegawai yang sangat dedikasi," kata Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman susulan kematian Penolong Pengarah (Seksyen Hutan Lipur) jabatan itu, Mohd Reza Musa, 37, dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, Mohd Reza maut terperangkap dalam kereta Perodua Myvi dipandunya yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 33 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan, Pahang.

Salim berkata, arwah seorang pegawai yang komited dalam melaksanakan tugas dan bertanggungjawab serta tidak pernah mengeluh apatah lagi menolak tugasan yang diamanahkan.

"Arwah seorang pegawai yang rajin, berdedikasi dan menjadi tonggak transformasi JPNJ dalam hala tuju ekopelancongan dan penggerak utama Malim Gunung Perhutanan Johor (MGPJ).

"Beliau juga sahabat yang sangat baik, pemurah dan sentiasa tersenyum. Saya terkesan dengan pemergian arwah. Kali terakhir saya menelefon arwah pada jam 3.20 petang hari Khamis.

"Kami berbincang mengenai kerja malah arwah sempat selesaikan tugas penting tersebut, lepas hantar melalui email. Malam itu, saya dapat berita arwah kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Salim mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan berkata seluruh warga JPNJ terkesan serta bersedih atas pemergian seorang rimbawan sejati.

Jelas Salim, arwah pulang ke Kuantan, Pahang kerana mahu melihat keluarganya termasuk isteri dan anak.

"Arwah juga baru pulang mengerjakan ibadat umrah bersama keluarga pada 7 hingga 19 November lalu," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Mohd Reza maut terperangkap dalam kereta dipandunya yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 33 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pahang, kira-kira jam 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika kejadian mangsa memandu Perodua Myvi sendirian dari Rompin menghala ke Pekan manakala treler Volvo terbabit dalam perjalanan dari simpang Ladang Yayasan Pahang Sungai Bebar Selatan menghala ke Kilang Kosfarm Rompin.

"Siasatan mendapati treler sedang keluar dari simpang berkenaan sebelum Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah bertentangan merempuh bahagian kanan treler terbabit.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu treler cuai ketika keluar dari simpang berkenaan ke jalan utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 12:25 PM