XPDC Kita Peng Yu curi perhatian.
XPDC Kita Peng Yu curi perhatian.
Abnor Hamizam Abd Manap


HUJAN pada sebelah petang dan keadaan padang becak tidak menghalang 5,000 peminat hadir menyaksikan Konsert Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) Malam Gerenti Asyik di Kampung Orang Asli Paya Mengkuang, Temerloh, Pahang.

Peminat bukan sahaja datang dari daerah ini sebaliknya dari daerah lain, malah konsert itu bukan sahaja dihadiri penonton dalam kalangan Orang Asli, tetapi juga Melayu.

Malah, dalam kalangan penonton Melayu, mereka juga teruja apabila menyaksikan persembahan artis Orang Asli yang sudah lama berada dalam persada seni tanah air negara.

Penganjur konsert, AsyikFM pada mulanya sedikit cemas apabila hujan lebat pada sebelah petang dan berterusan sehingga senja berkemungkinan merencatkan konsert.

Mujur 30 minit sebelum konsert dimulakan pada jam 8.45 malam, hujan berhenti, sekali gus lokasi konsert iaitu padang awam di kampung berkenaan mula dibanjiri peminat yang rata-rata teruja dengan konsert itu.

Selain disajikan dengan persembahan artis Orang Asli, mereka tidak sabar melihat persembahan kumpulan rock terkenal tanah air iaitu XPDC Kita Peng Yu bersama penyanyi baharu mereka, Ary yang menggantikan arwah Mael.

SALWA turut membuat persembahan.
SALWA turut membuat persembahan.

Tidak hairan ribuan peminat tidak kisah berdiri lama atas padang becak bagi menantikan persembahan kumpulan yang membuat persembahan terakhir di konsert itu.

Selain XPDC Kita Peng Yu, artis popular 80-an, Salwa Abd Rahman turut diundang bagi membuat persembahan.

Konsert sebelum itu dirasmikan Senator Manolan Mohamad. Hadir sama Batin Idris On dan Pengurus AsyikFM, Ramona Musa.

Tujuh artis Orang Asli masing-masing Zurinati Ramsa (Semelai), Lenny (Temuan), Airie (Temuan), Fezz Allen (Temuan), Achik Ayie (Jahut) band Heavy Metal, I-Sabbath (Temiar + Jahai) dan Eastern Street Boy (Jahut) tampil membuat persembahan masing-masing.

Salwa pula tampil mendendangkan tiga iaitu lagu Gadis dan Bunga, Rindu dan lagu popularnya, Satu, Dua Kau.

Sebagai penutup persembahan XPDC Kita Peng Yu memulakan nyanyian dengan lagu Titian Perjalanan, diikuti Hentian Ini yang turut diiringi nyanyian spontan daripada penonton.

PERSEMBAHAN artis Orang Asli, Airie.
PERSEMBAHAN artis Orang Asli, Airie.

Mereka terus membangkitkan nostalgia apabila mendendangkan lagu Aku dan Sesuatu, disusuli lagu Hidup Bersama dan Bukan Milik Aku. Tidak cukup dengan itu, XPDC Kita Peng Yu merancakkan lagi Konsert HKHM Malam Gerenti Asyik dengan lagu La Obe, Senapang Patah dan Nafisa.

Penonton juga beramai-ramai menyalakan lampu telefon ketika kumpulan berkenaan menyanyikan lagu Semangat Yang Hilang.

Mengakhiri persembahan, sesuai dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, XPDC Kita Peng Yu yang turut disertai Zuar, Amy dan Jeff menghiburkan penonton dengan lagu Selendang Merdeka.

Sementara itu, Ramona berkata, Konsert HKHM Malam Gerenti Asyik dianjurkan stesen radio berkenaan sebagai acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Katanya, ia juga antara cara stesen radio berkenaan mendekati komuniti pendengar yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 6:30 AM