AKSI menarik Kid.
AKSI menarik Kid.
Ridzuan Abdul Rahman

Gandingan pemain gitar adik-beradik, Noordin (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) ternyata memberi warna dan aura tersendiri dalam setiap persembahan Search sejak dahulu sehingga kini.

Ditambah dengan kemantapan vokal Denden Gonjalez, petikan bass mantap Yan dan ketukan dram padu Minn, berjaya memberikan kepuasan buat 4,000 peminat yang menonton Konsert Search Voyage of Asia di Kompleks Sukan Educity, Johor pada minggu lalu.

Kepuasan peminat sukar digambarkan menerusi konsert anjuran C&M Music Centre Sdn Bhd ini apabila Din yang bergelar King of Rhythm dan Kid (King of Tremolo) ligat menunjukkan skil permainan gitar menerusi lagu popular Search.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan konsert ini menonjolkan identiti Search yang lebih segar dengan adanya barisan anggota terkini yang ditampilkan.

Lebih utama, ia berjaya mengimbas kegemilangan legenda rock itu sejak lebih lima dekad lalu baik di mata peminat setia mahupun generasi baharu yang mula mendekati mereka.

PETIKAN gitar Din yang mempesona.
PETIKAN gitar Din yang mempesona.

Konsert kemuncak sempena Hari Rock Negara Edisi Selatan itu berlangsung hampir tiga jam dengan Search mendendangkan rangkaian lagu popular mereka Pelesit Kota, Bencana dan Mentari Merah di Ufuk Timur.

Sudah tentu tanpa perlu disuruh atau dipaksa, penonton turut sama menyanyi mengiringi persembahan Denden yang semakin serasi menghayati lagu Search.

Denden juga bertindak meminimakan komunikasi dengan penonton apabila hanya mengucapkan dialog yang perlu.

"Terima kasih kerana terus setia bersama Search, malam ini kami pilih lagu yang istimewa, kita 'enjoy' sama-sama. Ok kita terus lanjut (teruskan persembahan)," katanya.

Lagu lain yang menghiasi malam terbabit antaranya Di Pintu Sepi, Emanuelle dan lagu ikonik mereka Fantasia Bulan Madu, Purnama, Rock N Roll Pie dan medley Gadis Misteri, Kejora dan Gadisku.

DENDEN semakin serasi dengan Search.
DENDEN semakin serasi dengan Search.

Tidak ketinggalan lagu Pembakar Perasaan, Teguh, Panggung Khayalan, Asli dan Tulus, Isabella Pasti dan Fenomena.

Tiada keluhan dari penonton kerana mereka cukup terhibur dengan 15 lagu popular yang ditampilkan. Lebih daripada itu, permainan cahaya dan paparan skrin LED termasuk sistem bunyi daripada setiap instrumen juga amat memuaskan, sekali gus menjadi nilai tambah konsert ini.

Sebelum itu, kumpulan XPDC yang disenaraikan sebagai artis jemputan tampil membuka tirai konsert membawakan lagu Tak Nak Jadi Soh Chai, Hamba Abdi, John Jenin, Talam Dua Muka, Pelesit Mata Sebelah, Kita Peng Yu dan lagu terakhir Selendang Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:20 AM