DARI kiri Amy, Zuar, Jeff dan Mael.
DARI kiri Amy, Zuar, Jeff dan Mael.
Ridzuan Abdul Rahman

TIGA nama besar iaitu kumpulan Wings, Lefthanded dan Mustaffa Din (Mus) sudah beraksi di pentas Sunday Night Live (SNL) Hard Rock Cafe (HRC), Kuala Lumpur sejak siri pertama bermula 6 Oktober lalu dan berjaya membuktikan kehebatan mereka kepada peminat. Kini giliran kumpulan heavy metal terkenal, XPDC Kita Peng Yu pula untuk menggegarkan lokasi sama dengan persembahan mantap mereka pada 9 Februari ini, jam 10.30 malam.

Kali terakhir kumpulan bergelar King of Stage itu beraksi di HRC pada 2015. Justeru, anggotanya iaitu Mael (penyanyi), Zuar (bass), Jeff (gitar) dan Amy (drum) mengakui amat teruja terpilih menjayakan persembahan untuk siri ini.

“Diam tak diam sudah enam tahun berlalu dan sekarang kami kembali dipilih oleh HRC untuk beraksi di situ. Mereka nampak potensi kami untuk menarik penonton.

“Sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan bukan sahaja kami, tapi juga buat peminat XPDC Kita Peng Yu sendiri.

“Penghujung Disember lalu, kami menjayakan konsert di Jitra Kedah yang mendapat sambutan hebat peminat. Kami harapkan momentum ini berterusan dan ia menjadi pembuka tirai yang bermakna untuk 2020,” kata Zuar.

Menurut Zuar, mereka akan beraksi sekitar sejam dan persembahan ini dipecahkan kepada berkumpulan dan segmen solo.

MAHU tampil persembahan terbaik.
MAHU tampil persembahan terbaik.

“Bagi saya, HRC adalah sebuah tempat eksklusif dan penonton yang hadir boleh dianggap peminat tegar bertaraf VIP.

“Mereka lebih selesa menonton di tempat begini berbanding di lokasi lain. Jadi, kami perlu menyusun program sebaik mungkin supaya mereka terhibur, berbaloi dengan nilai RM100 yang dikeluarkan untuk membeli tiket.

“Kami perlu menampilkan persembahan terbaik kerana ia boleh dikatakan bagi meraikan genap 31 tahun usia XPDC sejak ditubuhkan pada 1989,” katanya.

Sunday Night Live XPDC turut mendapat tajaan daripada i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh.

“Nama XPDC dengan barisan anggota asal ini tak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat.

“Dengan kekuatan yang ada, kami yakin konsert ini akan mendapat sambutan baik daripada penonton,” kata pemilik i-Cafe Bikerstation, Kidat.

XPDC melakar sejarah yang hebat kerana berjaya menghasilkan tujuh album studio yang meletup seperti Darjah Satu, Timur Barat, Kita Peng Yu, Brutal dan Rasopariso.

Kita Peng Yu yang diterbitkan mencatat jualan 200,000 unit manakala album Brutal pada 1997 sebanyak 350,000 unit.

Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu antaranya Hamba Abdi, Ntahapapantah, Penyakit Gatal, Aku Masih Di Sini, Lagu Dari Aku, Titian Perjalanan, Hentian Ini serta Aku dan Sesuatu.

Tidak terkecuali lagu Hidup Bersama, Kabus Semalam, Senapang Patah, Raja Kertas, Selendang Merdeka, Talam Dua Muka, Kita Peng Yu dan Semangat Yang Hilang.

Selepas XPDC, giliran kumpulan Spider pula akan beraksi di pentas Sunday Night Live Hard Rock Cafe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:00 AM