The 1975.
The 1975.

Kuala Lumpur: Penganjur Good Vibes Festival (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA), menuntut ganti rugi sebanyak RM12.3 juta daripada kumpulan pop rock Britain, The 1975 akibat pembatalan GVF yang diadakan di Sepang, baru-baru ini.

Tindakan yang tidak bermoral oleh penyanyi utama kumpulan itu, Matty Healy adalah punca GVF yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari dibatalkan kerajaan.

Peguam mewakili FSA, David Mathew dari Tetuan Steven Thiru & Sudhar berkata, surat tuntutan sudah dikeluarkan kepada kumpulan yang turut dianggotai Adam Hann (gitar), Ross MacDonald (bass) dan George Daniel (dram) itu.

"Dalam Surat Tuntutan bertarikh 7 Ogos 2023, FSA menuntut agar The 1975 mengakui tanggungjawab mereka dan membayar jumlah sebanyak £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam masa tujuh hari.

"Tuntutan FSA terhadap The 1975 adalah kerana pelanggaran kontrak. FSA berhak mengambil tindakan selepas kumpulan itu melanggar kontrak persembahan yang ditandatangani dengan FSA.

"Selanjutnya, wakil Healy sudah memberikan jaminan bertulis sebelum persembahan bahawa Healy dan The 1975 akan 'mematuhi semua panduan dan peraturan tempatan' semasa persembahan mereka di Malaysia. Bagaimanapun, jaminan ini diabaikan," katanya.

David berkata, mereka akan menunggu maklum balas daripada kumpulan itu atau wakil-wakil mereka.

"Jika tiada maklum balas daripada kumpulan atau mereka tidak patuh, prosiding undang-undang di Mahkamah England akan menjadi langkah seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:35 PM