TREEHILL
TREEHILL
Rudy Imran Shamsudin

Kian popular malah lagu berada dalam kebanyakan carta stesen radio utama satu pencapaian yang tidak pernah terlintas di fikiran anggota kumpulan Treehill.

Lagu Terbang yang dicipta Zimi dan lirik nukilan Hang Nadim mula diperdengarkan kali pertama, Julai lalu dan sehingga kini ia mencatat 2.5 juta tontonan di laman YouTube.

Melihat sambutan begitu menggalakkan diberikan peminat muzik tempatan terhadap single Terbang membuatkan anggota Treehill iaitu Arash Azimi Anuar (gitar utama), Harry Paren Ngau (gitar kedua), Ahmad Sabran Mohd Salleh (penyanyi utama) dan Muhammad Haiqal Aiman Zulkefli (drum) berasa sangat gembira.

Sewaktu ditemui, Harry mewakili anggota Treehill menjelaskan mereka tidak mengharapkan single pertama menjadi terlalu besar seperti sekarang.

“Memang betul, semua penyanyi atau kumpulan muzik mahu meraih kejayaan dengan karya dihasilkan tetapi kejayaan mendadak dan cepat seperti apa yang Treehill dapat sekarang sedikit sebanyak menimbulkan perasaan gusar,” katanya.

Bercerita lagi, Harry menjelaskan dia percaya dengan pandangan umum diberikan penggiat seni iaitu apabila seseorang penyanyi atau kumpulan itu cepat naik nanti takut cepat juga turunnya.

Lebih parah apabila muncul dengan lagu kedua mereka sudah tidak lagi diminati dan seterusnya dengan lagu ketiga mereka sudah dilupakan.

“Kalau boleh kami tidak mahu situasi seperti itu berlaku kepada Treehill. Sebab itu kalau boleh kami tidak mahu terus drastik popular dan paling penting mampu bertahan lama dengan muzik yang kami ketengahkan,” katanya.

Bagaimanapun, jika melihat perkembangan itu dari sudut positif kata Harry sudah tentu mereka berasa gembira apabila karya sulung yang dihasilkan diterima baik.

“Bayangkan lagu itu sudah disimpan lama, hampir empat tahun sewaktu Treehill mula-mula ditubuhkan.

“Lama kami menunggu untuk ia diperdengarkan kepada umum.

“Tidak sangka pula sebaik ia diedarkan ia diterima baik. Ini bermakna peminat muzik tempatan boleh menerima apa yang kami persembahkan,” katanya.

Menceritakan penubuhan Treehill kata Harry, mereka meminati muzik sejak di bangku sekolah dan sewaktu berusia 17 baru dipertemukan.

“Di sekolah, saya dan Arash ada kumpulan lain. Apabila tamat persekolahan masing-masing bawa haluan sendiri. Kemudian, Jimmy Sofaz yang menemukan kami semua.

“Tambahan pula Jimmy kenal dengan Aiman yang kebetulan adik kepada komposer Zul 2 by 2.

“Jimmy memberitahu Aiman yang dia berminat untuk menubuhkan satu kumpulan baru dan bernaung di bawah produksi miliknya.

“Menerusi Aiman yang kami kenal menerusi rakan-rakan yang turut meminati bidang muzik, akhirnya kami disatukan,” katanya.

Walaupun pada peringkat awal mereka tidak kenal rapat antara satu sama lain dan bergabung berdasarkan minat namun selepas empat tahun kata Harry, Treehill sudah cukup kuat sebagai kumpulan muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 10:00 AM