Fauziah bersama ND Lala.
Fauziah bersama ND Lala.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Ibu kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman mengesahkan suaminya, Datuk ND Lala sudah melafazkan cerai terhadapnya pada 2 Ogos lalu.

Fauziah menerusi hantaran di Instagram memaklumkan, lafaz cerai itu dibuat di Masjid Ar Rahman, Bangsar, di sini, dan dia dimaklumkan mengenainya menerusi kiriman WhatsApp, semalam.

Fauziah berkata, walaupun rumah tangga yang dibina selama 34 tahun kini musnah, dia reda kerana diberi kekuatan yang cukup besar oleh Allah S.W.T untuk melalui semua dugaan itu.

"Alhamdulillah, Allah memberikan saya kekuatan yang luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima semua ini dengan berlapang dada kerana yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, Insya-Allah," katanya.

Fauziah berkata, dia memuat naik perkara itu supaya tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwanya untuk tidak menafikan kenyataan yang sudah tertulis dalam perkahwinan selama 34 tahun ini.

Fauziah yang juga ibu empat anak berkata, dia memohon doa agar terus diberikan kekuatan untuk menghadapi pelbagai dugaan mendatang selepas bertahun-tahun hidup dalam penipuan.

"Doakan saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan. Apa yang sudah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar dosa sesama manusia ini sangatlah berat.

"Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata, hanya Allah saja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua," tulisnya.

Pada April lalu, Fauziah pernah mendedahkan wajah seorang wanita dikenali Siti Munirah Abd Ghani di Instagram dan mendakwa itu adalah 'madunya' sekali gus memaklumkan isteri kedua ND Lala.

Ia berikutan, timbul spekulasi sebelum itu mengatakan ND Lala kononnya berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada Fauziah dan juga bekas rakan sekolah anaknya, Shila Amzah.

Ketika majlis pernikahan Shila dan suaminya, Ubai Mz pada 5 Ogos lalu, ND Lala hadir sebagai wali untuk menikahkan Shila dan selepas itu dia bergegas pulang meninggalkan majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:41 AM