Pelakon, Hafidz Rosdi hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri. FOTO FAIZ ANUAR
Pelakon, Hafidz Rosdi hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri. FOTO FAIZ ANUAR
Ramlah Zainal

 

 

Shah Alam : Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat pelakon, Hafidz Roshdi, 29, terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, secara lisan pada 22 Februari lalu adalah sah dan mengikut hukum syarak.

Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin berkata, pihaknya mensabitkan berlaku penceraian talak satu yang mana keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti permohonan dan keterangan daripada kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan sebelum ini.

"Selepas mahkamah mendengar pemohonan keterangan dan pengakuan kedua-dua belah pihak secara teliti, mahkamah mengesahkan lafaz cerai pada 22 Februari lalu, secara lisan (Hafidz) adalah sah mengikut hukum syarak.

"Manakala lafaz cerai 22 Januari lalu tidak jatuh talak. Maka, jatuhlah talak satu kali pertama terhadap defendan (Shuhada)" katanya.

Kes perceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana Hafidz selaku plaintif dan Shuhada sebagai defendan.

Dalam prosiding hari ini, Hafidz diwakili Peguam Syarie,  Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala, Shuhada diwakili Peguam Syarie, Nurfarhana Abd. Manaf.

Terdahulu, dalam perbicaraan sebelum ini, Hafidz memberitahu bahawa lafaz cerai yang dibuat terhadap Shuhada hanya berlaku sekali dan bukan dua kali.

Sementara itu, Hafidz dalam keterangannya berkata, lafaz cerai itu hanya dibuat pada 22 Februari lalu melalui perbualan telefon pada jam 11.40 malam yang mana lafaz itu adalah "Saya ceraikan awak talak satu Nurul Shuhada Binti Mat Shukri," katanya.

Menurut Hafidz ketika lafaz dibuat, dia dalam keadaan waras, sihat berserta dengan niat yang mana ketika lafaz cerai itu dia berada di Shah Alam Selangor, manakala Shuhada berada di Perlis.

"Saya menafikan sudah melafazkan cerai menggunakan aplikasi WhatsApp pada Januari lalu sebaliknya hanya melafazkan cerai pada Februari, "katanya. 

Sementara, Shuhada pula selaku defendan dalam keterangannya kekal dengan pendirian mengatakan Hafidz melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali.

Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 12:16 PM