Boy Iman antara lima individu, termasuk pengarah syarikat penganjuran festival raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Putra (WTC) yang dibatalkan saat akhir hadir untuk sebutan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto Eizairi Shamsudin
Boy Iman antara lima individu, termasuk pengarah syarikat penganjuran festival raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Putra (WTC) yang dibatalkan saat akhir hadir untuk sebutan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit, Boy Iman, 43, serta seorang pengurus syarikat, Nor Azmi Jantan, 49, yang didakwa atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak di Festival Hooray X Fest Raya pada April lalu akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan itu.

Peguam mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, dan juga Nor Azmi, iaitu Johan Ariff Salim Khan berkata kepada mahkamah, pihaknya akan memfailkan representasi kepada pihak pendakwaan dalam tempoh masa terdekat ini.

"Pihak kami baharu saja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Oleh itu, mohan satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah," katanya.

Terdahulu, sebutan semula kes itu didengarkan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin

di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagi peguam Muhamad Izhar Azmi yang mewakili dua lagi tertuduh kes sama iaitu Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, berkata pihaknya sudah mengemukakan representasi berkaitan pertuduhan itu kepada pihak pendakwaan pada 13 Julai lalu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh 28 Ogos depan bagi sebutan untuk semua kes.

Pada 25 April lalu, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan 'booth' atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, sehingga  menyerahkan RM1,500 pada 2.34 pagi, 19 April lalu di WTC.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:12 PM