LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengurus dan pegawai pemasaran Hooray X Fest Raya disambung reman sehingga esok bagi melengkapkan siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mendapat perintah sambung reman terhadap dua individu berusia 43 dan 74 tahun itu.

"Kedua-dua suspek direman sejak 21 April lalu sehingga hari ini. Pagi tadi, reman suspek keempat dan kelima itu disambung sehari lagi.

"Kertas siasatan kes hampir lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan, dua lagi individu direman berhubung siasatan festival beli-belah Syawal, Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Putra (WTC) yang dibatalkan saat-saat akhir, Selasa lalu.

Ia susulan penahanan tiga individu termasuk pengarah syarikat yang menganjur karnival berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, karnival jualan sempena Aidilfitri yang sepatutnya bermula Selasa lalu di WTC dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 5:20 PM