Ewal
Ewal
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Vokalis Kristal, Ewal Ismail, 31, masih menjalin hubungan baik dengan bekas tunangnya juga penyanyi Adda Baharuddin, walaupun wanita itu sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya pada hujung tahun lalu.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail ditemui berkata, tiada sebab untuk dia bermusuh atau berdendam dengan Adda termasuk abangnya, Rody juga pemain gitar Kristal kerana sedar antara mereka sememangnya tidak berjodoh.

"Alhamdulillah, hingga sekarang hubungan saya bersama Rody dan Adda tetap sangat baik dan profesional. Kami tiada masalah langsung selepas apa yang berlaku kerana masing-masing bersikap matang.

"Adda sendiri masih lagi datang ke studio saya untuk melakukan rakaman lagu 'cover' dan sebagainya kerana kami bekerja secara profesional. Kami pun bukan budak-budak lagi," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas betapa cepat dia sembuh daripada kekecewaan, Ewal berkata, sebagai 'rocker' sejati tidak  perlu dia bersedih lama-lama. Ujarnya, semua yang terjadi sudah aturan takdir dan Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

"Sekarang fokus saya pada karier kerana undangan persembahan nyanyian pun masih membangun sangat. Saya fikir lebih baik berikan tumpuan pada mencari duit dulu dan stabilkan ekonomi.

"Saya pun belum terfikir lagi nak bercinta buat masa ini. Saya selesa dengan kehidupan solo dan banyak benda juga yang saya nak buat. Apatah lagi, undangan persembahan menyanyi solo pun banyak diterima," katanya.

Terdahulu, Ewal pernah bertunang dengan Adda atau nama sebenarnya, Nur Syuhada Baharuddin, 35, yang ketika itu berstatus ibu tunggal dua anak pada 10 September tahun lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 5:19 PM