KRISTAL akan terus perjuangkan muzik rock mereka.
KRISTAL akan terus perjuangkan muzik rock mereka.
Norhayati Nordin


PEMBABITAN bersama kumpulan Kristal sebagai vokalis baharu sejak 2020 lalu, keputusan tepat buat Ewal Ismail, 31. Kerjasama dengan Rody selaku pemain gitar, Acap (dram) dan Kechiq (bass) adalah terbaik baginya.

Hubungan rapat sesama mereka, secara tidak langsung mengukuhkan Kristal untuk terus bergerak maju dalam bidang muzik dan nyanyian, sekali gus kekal relevan dengan kehadiran lagu-lagu baharu.

Bersua Ewal dan Kristal dalam satu acara hiburan baru-baru ini, ternyata Kristal masih 'laris' di pasaran dengan menerima tawaran persembahan yang tidak putus, walaupun jarang mendapat liputan media.

"Alhamdulillah, perkembangan karier muzik Kristal masih lagi 'bernafas' baik. Malah, jadual undangan persembahan kami pada setiap hujung minggu dalam bulan Jun ini sehingga akhir Oktober depan sudah penuh.

"Walaupun sekarang Kristal perlu bergerak sendiri dahulu kerana kontrak dengan syarikat rakaman MVM Music sudah tamat pada Mac lalu, kami terima dengan hati terbuka kerana yakin rezeki lain pasti ada.

"Buktinya, selama ini memang Kristal sentiasa ada undangan 'show' (persembahan) yang diterima, meskipun dari segi populariti kami kurang menyerlah. Bagi saya, tidak mengapa asalkan tawaran 'show' tak putus kerana itu yang lebih penting," katanya.

Ewal berkata, jenama Kristal sebagai band muzik juga sudah dikenali peminat tegar mereka kerana bertapak dalam industri hiburan lebih dua dekad sejak 1999 lalu. Katanya impak Kristal itu besar dan kuat.

"Saya pun ketika 'show' kami, banyak menyanyikan lagu popular Kristal yang lama dulu sebab mereka ada kira-kira 20 lagu hit. Pada saya, jika Kristal tak buat lagu baharu pun, tak apa.

"Cuma, kenapa kita (Kristal) masih tetap juga gigih menghasilkan lagu baharu sekarang kerana nak terus kekal relevan. Dalam perkembangan industri hiburan masa kini, produk lagu baharu mesti kena ada.

"Tapi, untuk Kristal sekarang sebenarnya kami sudah sampai satu fasa yang tak ada fikir nak 'glamour' sangat dan yang penting masih relevan, masih diundang membuat persembahan.

KRISTAL masih laris dan jadual persembahan padat.
KRISTAL masih laris dan jadual persembahan padat.

"Bahkan, masih lagi dapat sebaris atau sepentas dengan artis-artis dikenali yang ada sekarang dan penyanyi lama. Itu sudah cukup bermakna untuk kami (Kristal) sebab masing-masing pun dah berkeluarga. Jadi, kami semua hanya fokus nak cari duit saja sekarang ini," katanya.

Ewal yang juga bergerak menyanyi secara solo sebelum ini sejak usia kanak-kanak, pernah menyertai Akademi Fantasia Ke-11 pada 2014 dan popular dengan lagu Kembalikan Semula.

Apabila menyertai Kristal, mereka sudah muncul dengan beberapa lagu seperti Bosan pada 2020, Terpisah (2021) dan Cukup Aku Saja pada tahun lalu yang menjadi lagu tema (OST) drama Air Mata Allisya di TV9.

Ewal Masih Dibandingkan

Selesa mengambil pendekatan positif dengan kecaman dan perbandingan diterima, Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail berkata, ia perkara biasa dan sudah lali baginya.

"Sampai sekarang pun, saya masih menerima bermacam-macam kecaman, terutama dibandingkan dengan vokalis Kristal terdahulu. Apapun, saya okay saja.

"Bagi saya, mereka (peminat) yang membandingkan itu masih belum jumpa dan tengok saya 'perform' dengan Kristal. Tapi, bila mereka dah jumpa saya bersemuka dan tengok persembahan 'live' saya, pemikiran itu biasanya terus berubah.

EWAL dan Kristal sudah bersama sejak 2020 lalu.
EWAL dan Kristal sudah bersama sejak 2020 lalu.

"Sambutan diberikan menjadi sangat baik, nampak lain dan lebih positif. Memang selalu macam itu dan saya hanya mampu ucapkan terima kasih. Saya mohon teruslah menyokong Kristal dan karya lagu kami," katanya.

Mengulas juga mengenai sinar Kristal yang dirasa kurang 'kemilaunya' sejak beberapa tahun ini, Ewal menyifatkan kesilapan berlaku itu bukan datangnya daripada pihak mereka.

"Nama Kristal tidak naik dalam beberapa tahun ini sejak saya bersama mereka, sebenarnya bukan silap kami. Ia mungkin kesilapan pihak lain yang menguruskan bahagian promosi dan pemasaran untuk Kristal.

"Ini kerana, sebagai band muzik dan artis, Kristal sudah membuat yang terbaik. Tapi, mungkin tiada rezeki kami untuk lagu baharu yang diterbitkan bersama syarikat rakaman lama itu menyerlah dan tambat hati pendengar," katanya.

Ewal berkata, Kristal akan terus memperjuangkan muzik rock mereka dengan bersemangat. Ujarnya, jika tiada aral Kristal juga akan bernaung dengan syarikat pengurusan baharu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 6:40 AM