Ewal Ismail ketika ditemui pemberita pada sidang media Fiesto Fest @ Melaka 2022. FOTO Asyraf Hamzah
Ewal Ismail ketika ditemui pemberita pada sidang media Fiesto Fest @ Melaka 2022. FOTO Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Kristal, Ewal Ismail, 30, memaklumkan tidak tahu tarikh sebenar perkahwinan bekas tunangnya, Nur Syuhada Baharuddin atau Adda dengan seorang individu lain.

Ewal berkata, dia hanya dimaklumkan perkahwinan ini baru sahaja berlangsung.

"Kami habis begitu sahaja. Kami bertunang pada September tahun lalu dan dua bulan lepas bertunang hubungan kami dah dingin, jarang jumpa dan jarang berkomunikasi.

"Tapi nak kata tak berhubung langsung pun tak juga. Pertunangan kami pun putus begitu saja tanpa diumum kepada masyarakat.

"Saya pun tiada dendam, marah atau kecewa dalam hal ini kerana saya pun masih dalam band abang dan adiknya iaitu Rody dan Acap. Benda ini tak manislah kalau nak dijadikan pertikaian," katanya ketika ditemui pada sidang media sempena sambutan ambang Tahun Baru 2023 anjuran MEMCA di Dataran Pahlawan, Megamall Melaka.

Ewal berkata, dia mengenali Adda sejak usianya 12 tahun dan mereka sudah berjumpa baru-baru ini.

"Tiada apa-apa berlaku. Kami keluar pergi karaoke beramai-ramai. Dia dengan suaminya dan saya dengan kawan-kawan. Kami kekal tenang.

"Masing-masing dah 'move on'. Mungkin ia berkait dengan Kristal jadi saya tak nak bergaduh dan menghormati mereka.

"Setakat ini saya tak terfikir nak cari pengganti. Kalau ada, adalah. Saya ikut arus sahaja," katanya.

Terdahulu perkongsian yang dimuat naik di TikTok oleh Adda berkenaan perkahwinannya menarik perhatian ramai.

Mengulas pembabitan dengan Kristal, Ewal atau nama penuhnya Ikhwal Hafiz berkata, mereka baru tampil dengan single berjudul Terpisah yang diterima baik oleh peminat.

"Sekarang pun Kristal tampil berduet dengan ayah saya Mel menerusi lagu Semalam Yang Hangat dan nampaknya sambutan amat menggalakkan," katanya yang sudah empat tahun bersama kumpulan terbabit.

Kristal akan terbabit dalam sambutan ambang Tahun Baru 2023 menerusi Fiesto Fest@Melaka 2022 bersama ramai artis lain antaranya Noki/Mk K- Clique, D_va, Iman Troye, Azlan The Typewriter, Klangit, Melissa, Dalia Farhana, Asfan, P. Radhi, Zarul The Protes, 6ixthsense, Dinamik, Akar Band, Saja dan Max.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 11:02 AM