Coldplay.
Coldplay.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Coldplay mencatat sejarah sebagai kumpulan yang mengadakan konsert terbanyak di satu lokasi secara berturut-turut dalam tempoh enam hari di Stadium Nasional, Singapura sempena konsert jelajah Music Of The Spheres, Januari tahun depan.

Pengumuman penganjur, Live Nation Singapore itu dibuat semalam iaitu beberapa jam selepas penganjur mengesahkan kemunculan konsert kelima di stadium berkenaan.

Live Nation Singapore mengumumkan tiket pra-jualan bagi konsert yang dijadualkan pada 23, 24, 26 dan 27 Januari tahun depan itu habis terjual dalam tempoh lima jam.

Tiket untuk konsert yang ditambah pada 30 dan 31 Januari turut licin disambar peminat.

"Sambutan luar biasa! Coldplay adalah satu-satunya penghibur yang menjayakan enam persembahan di Stadium Nasional, Singapura.

"Semua tiket bagi enam persembahan Coldplay Music Of The Spheres World Tour di Singapura habis dijual.," menurut kenyataan yang dikongsikan dalam Instagram Live Nation Singapore.

Bukan itu saja, laman rasmi penjualan tiket yang juga dibuka seawal jam 10 pagi untuk pra-jualan, sesak dengan kehadiran mencecah lebih sejuta pelayar.

Menurut penganjur, penambahan satu lagi konsert juga dilaksanakan berikutan lebih 200,000 tiket untuk persembahan empat hari itu laris.

Coldplay pernah beraksi dua malam di Stadium Nasional Singapura pada 2017.

Pengumuman itu dibuat selepas jualan tiket bagi siri jelajah sama di Malaysia dan Indonesia meraih sambutan luar biasa.

Coldplay turut menambah satu lagi persembahan di Filipina pada 19 Januari dan di Thailand pada 3 Februari tahun depan.

Coldplay juga akan mengadakan konsert jelajah yang sama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 22 November depan dan sebanyak 80,000 tiket habis dijual dalam tempoh tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:04 PM