COLDPLAY ketika konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.
COLDPLAY ketika konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kuala Lumpur: Konsert Coldplay : Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 22 November tahun lalu mencatat kehadiran penonton paling tinggi sepanjang karier mereka.

Menurut maklumat dikongsi Coldplay Charts, tiket acara dianjurkan Live Nation Malaysia itu berjaya dijual sebanyak 81,812 dengan jumlah keuntungan kasar berjumlah RM52 juta.

Faktor utama sambutan luar biasa itu tidak lain disebabkan band dari Britain itu cuma mengadakan konsert sehari saja di sini. Tambahan pula, ia konsert julung kali mereka di sini.

Coldplay yang dianggotai Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion turut terkejut dengan sambutan luar biasa itu.

"Kenapalah kami tidak berkunjung ke sini lebih awal. Selama lebih 20 tahun, orang pernah cakap penonton di sini adalah antara yang terbaik di dunia," kata Martin sewaktu konsert.

Walaupun hujan mulai turun beberapa minit selepas kumpulan itu menyanyikan lagu pertama, namun penonton tidak berganjak sanggup basah kuyup.

Paling jadi perbualan adalah aksi spontan Martin mempersembahkan pantun 'tom yam' sekali gus menggamatkan SNBJ. Videonya itu juga tular di media sosial.

Kehadiran di Malaysia itu mengatasi konsert mereka di Indonesia yang juga diadakan cuma sehari iaitu seramai 78,541.

Bagaimanapun, konsert di Jakarta itu mencatat keuntungan kasar tertinggi untuk siri jelajah di Asia iaitu RM66.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 4:09 PM