Sebahagian peminat mula membanjiri perkarangan stadium bagi menyaksikan Konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebahagian peminat mula membanjiri perkarangan stadium bagi menyaksikan Konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kuala Lumpur: Bahana tiket tidak sah, sekumpulan peminat Coldplay mendakwa kerugian sekitar RM70,000 apabila tidak dapat masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), menyaksikan konsert band itu, di sini, semalam.

Kekecewaan itu dikongsi pemilik akaun TikTok, Abg.Supra yang mendakwa mereka membeli tiket daripada seorang individu bahkan sudah beratur masuk sejak awal pagi.

"Kami semua kena scam, jadi tiket tak valid. Tak pasal-pasal kena duduk dengar dekat luar sahaja. Boleh lah buat rasa-rasa. Semua dah sampai tapi tiket tak 'valid', satu langkah sahaja lagi nak masuk.

"Kami semua datang secara kumpulan, ada yang beli tiket VIP harga lebih RM3,000, ada yang RM758, RM598. Anggaran keseluruhan semua hampir RM60,000 hingga RM70,000," katanya.

Namun begitu, mereka enggan putus asa dan merancang ke Singapura pada Januari tahun depan demi menyaksikan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour.

"Tak apa lah, kita jumpa pula konsert Coldplay di Singapura nanti," katanya.

Beberapa hari sebelum konsert semalam, penjualan semula tiket berleluasa di media sosial terutama aplikasi X.

Bagaimanapun, ada pembeli kecundang masuk kerana urus setia mendapati tiket mereka tidak sah.

Lebih 85,000 menghadiri konsert itu.

Bahkan, ribuan peminat setia yang tidak mempunyai tiket sanggup mengikuti konsert itu di luar SNBJ asalkan dapat dengar persembahan Coldplay.

Konsert anjuran Live Nation Malaysia terbabit adalah yang julung kali diadakan band itu di Malaysia selepas 27 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 2:23 PM