Konsert Coldplay dijadual berlangsung November.
Konsert Coldplay dijadual berlangsung November.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: 'Kegilaan' peminat band popular Coldplay nampaknya membuka ruang buat 'ulat tiket' untuk mengambil kesempatan dengan menjual tiket Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour yang akan berlangsung pada 22 November ini, dengan harga yang lebih mahal.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa platform perdagangan online menyaksikan tiket untuk beberapa tempat duduk mula dijual dengan harga lebih mahal daripada harga sebenar.

Antaranya, tiket untuk tempat duduk CAT 4 yang harga asalnya RM598 dijual dengan harga RM750 manakala tiket tempat duduk CT 6 dengan harga asal RM398 dijual dengan harga RM600.

Tidak hanya itu, ada juga perkongsian di media sosial mengenai harga tiket yang dijual semula dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Di media sosial juga, rata-rata meluahkan kekesalan dengan individu yang tidak bertanggungjawab ini.

"'Sold out' semua. Terima kasih 'scammers' dan 'scalpers'! Aku harap, kamu semua mereput dalam neraka," tulis satu pengguna Twitter.

"Hari ini tiket pra-jualan di Kuala Lumpur: Laman web 'crashed', tiket habis dijual, 'scalpers' jual semula dengan harga dua kali ganda, peminat sejati tak dapat peluang untuk lawan 'reseller' (penjual semula tiket).

"Jualan untuk umum nanti akan lebih parah! Tolong adakan persembahan kedua," tulis satu pengguna Twitter lain, membalas ciapan dari akaun Twitter Coldplay.

Semalam, pra-jualan dibuka untuk pemilik akaun bank CIMB dan jualan umum dibuka hari ini bermula jam 10 pagi.

Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 4:20 PM