Konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 22 November depan.
Konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 22 November depan.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penganjur Live Nation Malaysia tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini pada 22 November nanti akan ditambah sehari ekoran permintaan masih tinggi.

Pengarah urusannya, Para Rajagopal bagaimanapun berkata terlalu banyak aspek perlu diambil kira bagi menunaikan impian ramai itu.

"Segalanya ada kemungkinan. Perbincangan masih berjalan mengenai banyak perkara. Kami tak boleh cakap apa-apa lagi," katanya.

Ia susulan terdapat petisyen dalam talian untuk konsert hari kedua ditambah selepas kumpulan terbabit mengumumkan bakal adakan konsert hari kedua di Koahsiung, Taiwan.

Para juga menyarankan peminat sentiasa melihat pengumuman terbaru di saluran-saluran penganjur.

Menurutnya, lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.

"Sangat berbeza dengan pembelian tiket penerbangan atau tempahan hotel. Tekanan menimpa keseluruhan infrastruktur digital cukup berlainan.

"Secara total, saya rasa kami tiada kawalan terhadap siapa berjaya dapat tiket dan pada jam berapa. Kami buka kepada sesiapa saja untuk masuk dalam sistem, tapi semestinya ada had tiket dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:25 PM