Lufya Omar
Lufya Omar

Shah Alam: Pelakon Lufya Omar, 38, menyifatkan tuntutan mut'ah sebanyak RM1 juta yang dibuatnya terhadap bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum adalah keadilan untuk dirinya.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar berkata, jumlah dituntut itu juga adalah wajar demi membayar pengorbanan dirinya selama berkahwin dan membesarkan anak.

"Sebagai ibu tunggal saya, mahu mendapatkan pembelaan. Jumlah RM1 juta dituntut itu bukan nilai saya, tapi untuk keadilan. Apatah lagi, pernah difitnah.

"Malah, dengan tuntutan ini juga dapat membantu saya meneruskan kehidupan bersama anak memandangkan kos sara hidup sekarang pun semakin tinggi," katanya.

Terdahulu, Lufya hadir bersama peguam, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakilinya bagi sebutan kes tuntutan mut'ah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Menurut Lufya, tuntutan mut'ah itu adalah berdasarkan kepada pengorbanannya dan apa yang sudah berlaku sepanjang perkahwinan bersama bekas suami selama empat tahun.

"Dulu, pendapatan saya kukuh. Tapi, selepas berkahwin saya melepaskannya atas sebab-sebab tertentu. Untuk bangun balik, ia memerlukan masa yang agak panjang dan saya perlu merancang kehidupan bersama anak.

"Walaupun cuma seorang anak, ia bukan mudah dengan keadaan saya dulunya seorang artis yang aktif bekerja. Malah, saya juga selama ini tidak pernah minta apa-apa walaupun barang daripada Hafiz," katanya.

Lufya dan Dr Che Hafiz berkahwin pada 26 November 2016 dan bercerai pada 17 Jun 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak, Laana Haura, 5.

Pada 2 Mac lalu, Lufya memfailkan tuntutan mut'ah bernilai RM1 juta kepada Dr Che Hafiz di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, walaupun mereka sudah hampir tiga tahun bercerai.

Pada prosiding perbicaraan hari ini, Dr Che Hafiz difahamkan tidak hadir ke mahkamah. Justeru, sebutan semula kes akan berlangsung pada 26 Julai depan.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan Dr Che Hafiz tidak berjaya apabila kiriman mesej di WhatsApp tidak berbalas dan panggilan telefon juga tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 8:05 PM