Lufya
Lufya

Kuala Lumpur: Kemelut tuntutan nafkah pelakon, Lufya terhadap bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz untuk anaknya seakan tiada kesudahan apabila kes sudah ditutup pihak Mahkamah Syariah sejak Mac lalu.

Perkara ini berlaku akibat kesilapan peguam yang mewakilinya apabila tidak muncul di mahkamah untuk perbicaraan.

Lufya, 37, meluahkan perasaan menerusi Instagram berkenaan perkara ini.

"Dua tahun tuntut nafkah anak tak selesai dan menunggu lapan bulan untuk tarikh seterusnya sangat mengarut! Baru dapat tahu rupanya kes nafkah anak Lufya dibatalkan atau ditutup oleh hakim. Gali punya gali, rupa-rupanya peguam kita sendiri tak hadir mewakili kita. Kes itu telah ditutup pada Mac 2022 awal tahun lagi," tulisnya.

Lufya berkata, kepercayaan sepenuhnya sudah diletakkan terhadap peguam terbabit yang memaklumkan kes ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali atas alasan pemberian bukti baharu.

Dia juga tidak menyangka dianiaya oleh peguam sendiri memandangkan statusnya seorang ibu tunggal dan menganggap tindakan terbabit sebagai putaran 360 darjah.

"Subhanallah kita lantik dia untuk bela kita, malah rasa dianiaya. Lufya ini 'single mom' (ibu tunggal) yang bekerja keras untuk menyediakan terbaik untuk anak perempuan saya.

"Tangisan, jerih, perih membesarkan anak sendiri jangan ceritalah. Apa yang terjadi sebelum ini tolak tepilah," katanya.

Dia turut mendakwa bekas suami memandang ringan isu nafkah apabila memasukkan nafkah sesuka hatinya.

"Come on! RM300 hingga RM500 jumlah yang tak relevan lagi untuk nafkah anak. Itu pun culas!," katanya.

Lufya turut memaklumkan sudah melantik peguam baharu yang dilihat lebih berkaliber bagi memperjuangkan haknya di mahkamah.

Pasangan itu berkahwin pada 2016 dan memiliki anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia lima tahun.

Mereka bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 2:48 PM