Dr Che Muhammad Hafiz hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menjalani proses tuntutan mut’ah. FOTO FAIZ ANUAR
Dr Che Muhammad Hafiz hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menjalani proses tuntutan mut’ah. FOTO FAIZ ANUAR
Najiy Jefri


 

Shah Alam: "Ya, saya memang terkejut," kata bekas suami kepada penyanyi Lufya Omar iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum selepas menerima tuntutan mutaah berjumlah RM1 juta walaupun sudah bercerai sejak tiga tahun lalu. 

Dr Hafiz yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pagi tadi bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung tuntutan yang dibuat bekas isterinya pada Oktober tahun lalu. 

"Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada semua. Perkara ini terlalu privasi dan saya belum bersedia memberi apa-apa kenyataan buat masa ini sebab menghormati isteri saya. 

"Doakan yang terbaik untuk saya. Semoga urusan semua pihak dipermudahkan," katanya yang hadir ditemani isteri, Julia Farhana. 

Sementara itu, peguam yang mewakili Dr Hafiz iaitu Abdul Hadi Mohamad Salleh berkata, kehadiran kedua-dua belah hari ini adalah untuk menguruskan dokumen berkaitan tuntutan mutaah. 

"Mutaah ini adalah saguhati bekas suami kepada bekas isteri selepas bercerai. Jadi Lufya ada membuat tuntutan pada Oktober tahun lalu dan hari ini adalah untuk pengurusan kes. 

"Sebelum ini, mereka sudah menjalani proses sulh namun tidak mencapai kata sepakat. Kalau ikutkan, betul jumlah yang dituntut oleh pihak plantif. 

"Namun semuanya masih dalam proses perbincangan dan mahkamah yang akan menentukan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Lufya yang hadir ditemani dua peguam kelihatan sedih dan enggan ditemu bual media. 

Untuk rekod, Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia lima tahun.

Bagaimanapun, Lufya dan Dr Hafiz bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.

Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr Hafiz akhirnya berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:22 PM