PAPA Rock tampil dengan menyanyikan 17 lagu.
PAPA Rock tampil dengan menyanyikan 17 lagu.
Ridzuan Abdul Rahman


BEREHAT sebulan sepanjang Ramadan, penyanyi Datuk Ramli Sarip akhirnya kembali beraksi dalam 'showcase' Makan Malam Amal

Sentosa Di Kubah Hayat yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini tampil dengan barisan pemuzik yang sinonim dengannya iaitu Riz Abd Halim (gitar utama), Helmi Shahudin (gitar kedua) dan Din Safari (bass).

Turut terbabit ialah Tom Anuar (dram), Muhardiman Ismail (seruling) dan Paang Zaman (perkusi). Manakala Rio Rasul (keyboard) turut bertindak selaku pengarah muzik.

Kehadiran

Ramli buat julung kalinya di Sabah dalam konsert anjuran Yayasan Dangsanak Sabah yang berkonsep penajaan ini ternyata ditunggu-tunggu 1,000 peminat yang hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Penganjuran majlis makan malam amal ini diuruskan dengan jayanya oleh SR Event Sdn Bhd dan DVA Event & Management.

Manakala Jetama Sdn Bhd dan Swait Kinabalu Sdn Bhd pula menjadi penaja utama.

SANTAI dan bersahaja menghiburkan peminat.
SANTAI dan bersahaja menghiburkan peminat.

Berbekalkan pengalaman lima dekad dalam industri seni, Ramli secara santai dan bersahaja menghiburkan mereka dengan lagu menarik.

Beliau tampil dengan 17 lagu antaranya lagu popular Sentosa Di Kubah Hayat, Sejuta Wajah, Kekasihku, Dunia Perlumbaan, Jikalau Berkasih, Keliru, Zakia, Kamelia dan Teratai.

Persembahan bertenaga dan mantap ini ternyata menghiburkan peminat yang rata-rata berusia 40-an dan ke atas terdiri daripada golongan korporat.

Dalam berhibur, Ramli seperti kebiasaannya turut menyelitkan kata-kata nasihat dan pesanan kemanusiaan kepada semua yang hadir.

Tentunya kata-kata ini didengar peminat memandangkan Ramli sendiri berusia 70 tahun dan dia perlu dihormati.

RAMLI bersama barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya.
RAMLI bersama barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya.

Ramli antara insan paling layak berkongsi nasihat yang boleh dijadikan panduan generasi muda.

Selain nyanyian, Ramli tidak lupa menonjolkan kehebatan skil barisan pemuzik pengiringnya yang menerima tepukan gemuruh penonton.

Selain persembahan Ramli turut mengambil kesempatan melancarkan single terbaharu berjudul Bersimpuh Di Serambi pada majlis ini.

Lagu hasil ciptaan beliau sendiri dengan lirik oleh Datuk Dr Arifin Arif ini terbitan SR Events Sdn Bhd dan Rasa Karya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 6:30 AM