PRETTY UGLY berjaya menghiburkan peminat mereka dengan persembahan bertenaga.
PRETTY UGLY berjaya menghiburkan peminat mereka dengan persembahan bertenaga.
Ridzuan Abdul Rahman


Nama mereka bukanlah gah dan sebesar kumpulan popular lain dalam industri seni hiburan tanah air.

Namun kemampuan untuk beraksi dalam sebuah konsert solo adalah satu pencapaian hebat buat kumpulan Pretty Ugly.

Biarpun peluang ini hadir selepas 21 tahun, Pretty Ugly membuktikan kemampuan dan keunikan mereka di mata peminat menerusi konsert yang berlangsung di The Paddock, Selangor, baru-baru ini.

Konsert ini menampilkan Neves (vokal), Jay (gitar), Juad (bass) serta dibantu Jun (dram), Eddy (keyboard) dan Fizi (gitar).

Keberanian Pretty Ugly yang tampil dengan eksperimental muzik seperti rock, funk, soul, jazz dalam karier ternyata menjadi daya tarikan peminat tegar hadir menonton konsert mereka.

Malah lebih daripada itu, ia turut menarik kehadiran Datuk M Nasir dan isterinya Datin Marlia Musa, anggota Exists dan Wings serta penyanyi Elyana untuk hadir menonton.

Mereka seperti penonton lain terhibur dengan persembahan Pretty Ugly yang menampilkan lebih 20 lagu yang mengembalikan nostalgia lebih 21 tahun lalu.

Gaya komunikasi Neves yang santai dan bersahaja tidak terikat dengan skrip juga berjaya menghidupkan persembahan mereka.

"Aku rasa aku buat ini hanya untuk kepuasan dan memeriahkan industri. Tak kisahlah berapa ramai yang datang menonton.

"Ramai kawan-kawan yang berikan bantuan. Ini realiti dan saya sangat hormat anda.

NEVES pandai berkomunikasi dengan celotehnya yang bersahaja.
NEVES pandai berkomunikasi dengan celotehnya yang bersahaja.

"Ini adalah sesuatu yang 'best' sempena anniversari Pretty Ugly," katanya disambut dengan tepukan bergemuruh peminat.

Selain lagu-lagu nyanyian Pretty Ugly, konsert malam itu turut menampilkan lagu-lagu ciptaan Neves yang dipopularkan oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin iaitu Jangan Kau Mimpi.

Nyanyian dalam versi yang lebih segar ini adalah penghormatan buat penyanyi kesayangan ramai ini.

Kelainan turut diperlihatkan menerusi lagu yang memperkenalkan nama Pretty Ugly kepada peminat iaitu En Ronald Moore.

Persembahan ini ternyata mencetuskan kekaguman peminat apabila dimulakan dengan permainan gitar klasikal oleh Jay berbanding versi asal yang cenderung ke arah adunan Rock dan Polka.

Manakala sebelum menampilkan lagu popular iaitu Diari Seorang Lelaki, mereka menayangkan montaj karier muzik yang turut mencipta kenangan manis buat peminat yang hadir.

Terdahulu, dua kumpulan iaitu Late Night Frequency dan Banyak Bunyik Republik ditampilkan sebagai pembuka pentas sebelum Pretty Ugly mengambil giliran menghiburkan peminat.

Pretty Ugly turut menjemput penyanyi utama Joanna & Co., Joanna Renisa untuk menyanyikan lagu Dia Milikmu yang pernah dirakamkan bersama Neves pada tahun 2008.

Konsert Pretty Ugly dimeriahkan dengan penampilan The Cugat yang terdiri daripada ahli keluarga Neves dan Jay.

Ia diambil sempena nama ayah mereka, Allahyarham Zainal Cugat seorang pemuzik terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:30 AM