Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: "Kalau benci sangat kepada saya dan sikap saya yang teruk, lepaskan saya. Cari isteri yang sesuai dan dapat tahan dengan awak."

Demikian kata isteri pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.

Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, 32, berkata, Afiq dengan jelas memburukkan dirinya di media dengan pelbagai fitnah.

"Dah terang-terang dia mengata saya, isteri dia. Macam saya teruk sangat. Jadi, apa lagi? Awak terang-terang bercakap benda buruk mengenai saya dan aibkan saya di media.

"Bukan sahaja aibkan, tapi, dia mendera saya secara fizikal selama tiga tahun. Jadi, apa lagi awak nak?

"Dari A hingga Z, dia banyak fitnah saya. Saya cuba sedaya upaya untuk tutup mulut. Biar mahkamah yang nampak sendiri bukti dan siapa yang curang," katanya.

Diminta mengulas mengenai kes tuntutan fasakh ditangguh dan akan disebut semula pada 15 Jun hadapan, Pachara menganggap Afiq sengaja melengahkan masa.

"Prosiding ini sepatutnya berjalan lebih lancar, tapi, sebab defendan (Afiq) hadir, saya rasa, dia nak lambatkan proses. Peguam saya pun maklumkan, ada bukti mesej yang sudah dihantar.

"Tapi, dia tak mahu berikan kerjasama. Bahkan, sewaktu peguam nak hantar surat pun, dia suruh cari alamat sendiri. Selepas cari beberapa alamat, dia hantar pula alamat taska. Dia seperti mempermainkan staf peguam saya dan itu tak patut," katanya.

Ditanya mengenai tempias kontroversi ini kepada keluarganya, Pachara bersyukur kerana keluarganya bersikap profesional.

"Alhamdulillah, mereka sangat profesional dan selalu menenangkan saya. Walaupun adik-adik saya masih muda, mereka dapat berfikir secara waras," katanya.

Terdahulu, prosiding keterangan saksi yang berlangsung hari ini ditunda selepas Afiq selaku defendan, hadir dan mengaku tidak menerima surat tuntutan cerai dari pihak peguam Pachara, sebaliknya hanya mendapat tahu melalui media.

Pachara diwakili peguam Suriati Ab Ghani, manakala Afiq pula diwakili peguam Mohd Yazid Sa'at.Terdahulu, Pachara atau nama Islamnya Nur Aaira Mahdeya, 32, difahamkan sudah memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu.

Selain itu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 lalu atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, serta menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 1:20 PM