Zaara Talita

Kuala Lumpur : Pelakon, Datuk Adi Putra akur dengan keputusan syarikat produksi, Studio Kembara Sdn Bhd mengeluarkan namanya dari senarai pelakon filem prekuel Mat Kilau.

Kenyataan Adi yang sinonim dengan watak Mat Kilau itu sekali gus mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan oleh penerbit filem itu berhubung isu berkenaan.

"Saya terima dengan qada dan qadar. Pengesahan itu dikeluarkan pihak penerbit dan akur dengan keputusan itu. Penerbit dan pelakon ada batasan. Penerbit ada kuasa untuk menerbit dan membuat ketentuan dari segi pemilihan.

"Kita sebagai pelakon adalah dalam kategori 'freelance', tidak ada hak mutlak kerana kami tidak menerbitkan sesuatu," katanya.

Terdahulu, Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof tidak akan terbabit dalam pembikinan prekuel filem pecah panggung itu, Oktober lalu.

Abdul Rahman berkata, dua pelakon utama Mat Kilau iaitu Adi Putra dan Beto Kusyairy juga tidak terbabit dalam produksi berkenaan.

Pelakon, Datuk Adi Putra. Foto Genes Gulitah
Pelakon, Datuk Adi Putra. Foto Genes Gulitah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:38 PM