Zed Zaidi
Zed Zaidi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Zed Zaidi menyerahkan kepada kebijaksanaan polis bagi melakukan siasatan terhadap kes ugutan yang diterima oleh kumpulan dari Indonesia, Radja.

Zed berkata, semua pihak perlu memberi ruang untuk polis menjalankan siasatan supaya pendakwaan atau tindakan akan dilakukan oleh mereka sekiranya bersalah.

"Yang saya lihat, Radja diugut bunuh di negara kita, tapi benda itu tak berlaku. Berbanding cerita hari ini artis Malaysia yang berada di luar negara iaitu Kamal Adli bukan sahaja diugut bunuh tapi dah dicederakan.

"Ia lagi bahaya. Cuma kehilangan nyawa itu belum lagi terjadi. Apa yang dialami oleh Kamal Adli itu lebih penting kerana dia mengalami kecederaan yang parah serta membabitkan kepala dan otak.

"Kita takut untuk jangka masa yang panjang akan berlaku sakit-sakit yang lain kita tak tahu. Yang ini sepatutnya kita kena ambil tahu berbanding artis luar yang kena ugut di Malaysia tapi kejadian itu belum lagi berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, polis Malaysia lebih arif untuk menyelesaikan masalah ini dan semua pihak harus fokus pada artis Malaysia yang berada di luar negara untuk membuat persembahan, penggambaran atau apa sahaja.

"Kita mesti set satu prosedur operasi standard (SOP) di mana artis Malaysia yang nak buat persembahan di luar dan juga artis luar yang nak buat persembahan di Malaysia ini, perlu ada satu garis panduan yang lebih ketat.

"Kita tahu pihak penganjur mungkin tak puas hati dan sebagainya. Benda ini sepatutnya dibincangkan secara peribadi antara penganjur dengan artis terbabit.

"Apa yang kita lihat, ugutan-ugutan itu tidak sampai ke tahap tindakan. Maknanya dia hanya ugut, tapi tak pergi pukul atau bunuh. Tapi itu tak berlaku dan hanya sekadar ugutan sahaja berbanding dengan Kamal dia diugut dan kena," katanya.

Menurutnya kes Kamal Adli lebih penting berbanding Radja dan berharap benda-benda atau perkara ugutan itu bukan satu perkara yang keterlaluan.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kumpulan muzik Indonesia, Radja, yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh.

Mereka ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), semalam. Manakala Kamal pula dipukul seorang lelaki sehingga cedera teruk di kepala ketika terbabit dalam karnival di Singapura pada malam semalam.

Berikutan insiden itu, Uqasha mendakwa Kamal cedera teruk hingga dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 8:55 PM