GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Polis Johor memulakan siasatan berhubung dakwaan kumpulan muzik Indonesia, Radja yang dihambur kata-kata kesat selain diugut bunuh selepas menerima laporan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya sudah merakam percakapan semua mangsa dan kini sedang mengesan suspek.

"Polis Johor mengesahkan ada menerima laporan polis pada jam 5.34 pagi tadi yang dibuat oleh pengurus artis berkenaan.

"Pengadu mendakwa kumpulan Radja menerima ugutan jenayah dan dilemparkan kata-kata kesat.

"Susulan laporan polis itu, kita telah merakam percakapan semua mangsa dan sedang mengesan suspek-suspek yang terbabit," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada masa sama, beliau menegaskan Polis Johor memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh mengganggu gugat keamanan.

Malam tadi, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlakunya salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga kumpulan berkenaan.

Dua lelaki yang dipercayai wakil kepada penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.

Ia berlaku selepas kumpulan muzik itu tidak dimaklumkan tentang sesi 'Meet and Greet' antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancangkan pihak penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 4:26 PM