GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penganjur konsert atau persembahan perlu memandang serius aspek keselamatan artis dengan mengambil segala langkah yang perlu sebelum menganjurkan sesuatu acara itu.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 43, berkata, penganjur juga wajib menyediakan pengawal keselamatan untuk melindungi keselamatan artis sepanjang konsert atau persembahan itu berlangsung.

Menurut Zed, sejak kebelakangan ini, banyak kes membabitkan aspek keselamatan artis tempatan dan Indonesia.

"Contohnya, kes pelakon Kamal Adli yang diserang seorang lelaki di Singapura dan kes kumpulan muzik Indonesia, Radja yang mendakwa dihambur kata-kata kesat dan diugut bunuh di Johor, sebelum ini.

"Justeru, langkah keselamatan yang perlu dengan menyediakan pengawal keselamatan perlu dipandang serius pihak penganjur kerana ia sangat penting untuk melindungi keselamatan artis atau mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini pada acara terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Zed berkata, jika acara atau konsert yang besar, seramai 10 atau 20 pengawal keselamatan perlu disediakan penganjur untuk melindungi keselamatan artis.

"Tapi jika acara yang kecil sekurang-kurangnya satu atau dua pengawal keselamatan perlu disediakan penganjur di lokasi terbabit.

"Penganjur perlu memberi jaminan keselamatan terutama jika membabitkan artis wanita kerana kita tidak mahu insiden yang menimpa Ara itu berulang kerana ia membabitkan kes gangguan seksual," katanya.

Zed berkata demikian ketika mengulas insiden yang menimpa penyanyi popular, Ara Johari yang berdepan detik mencemaskan apabila seorang lelaki tidak dikenali bertindak melakukan gangguan seksual dengan mencium tangannya selepas dia menjayakan satu persembahan di Nilai, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Susulan insiden itu, Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari juga membuat laporan polis di Balai Polis Nilai kira-kira jam 12 tengah malam.

Zed berkata, artis juga perlu memastikan penganjur menyediakan pengawal keselamatan sebelum bersetuju untuk menerima tawaran terbabit.

"Jika artis mendapati penganjur tidak menyediakannya, mereka berhak untuk menolak menjayakan acara itu. Artis juga boleh membuat aduan kepada persatuan Seniman jika mendapati penganjur acara tidak menyediakan jaminan keselamatan yang perlu pada acara dijayakan.

"Bagaimanapun, jika artis yang berkemampuan, digalakkan mereka menyediakan pengawal peribadi sendiri untuk melindungi keselamatan pada acara dijayakan selain dari pengawal keselamatan disediakan penganjur," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan penyanyi wanita selepas selesai membuat persembahan pada satu acara di Dataran Nilai, Bandar Baru Nilai, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, suspek dikatakan mendekati mangsa untuk berswafoto dan selepas selesai bergambar, lelaki itu dikatakan menarik tangan dan mencium tangan artis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 3:37 PM