KUMPULAN Radja ketika konsert di Johor Bahru. FOTO Facebook Tourism Johor
KUMPULAN Radja ketika konsert di Johor Bahru. FOTO Facebook Tourism Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kumpulan muzik Indonesia, Radja yang mendakwa dilemparkan kata-kata kesat serta menerima ancaman bunuh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu dilengkapkan selepas pihaknya selesai merakam keterangan 17 individu dan dua suspek kes berkenaan.

"Dalam perkembangan terkini kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik Radja, kita mengesahkan sudah melengkapkan kertas siasatan.

"Setakat ini, seramai 17 individu dan dua suspek diambil keterangan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.

Sabtu lalu, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlakunya salah faham antara penganjur konsert dan juga kumpulan muzik berkenaan.

Dua lelaki yang dipercayai wakil kepada penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.

Ia berlaku selepas Radja tidak dimaklumkan mengenai sesi Meet and Greet antara kumpulan muzik itu dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancangkan penganjur.

Dua suspek masing-masing seorang lelaki warga tempatan yang berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun kemudian ditahan polis selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 11:30 AM