YUSOF (kiri) harap Zed Zaidi lebih berhati-hati.
YUSOF (kiri) harap Zed Zaidi lebih berhati-hati.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, 67, menasihatkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi supaya lebih berhati-hati memberi komen terhadap drama tempatan.

Ia berikutan kenyataan Zed yang melabelkan drama Nur sebagai 'syok sendiri' apabila hanya ditayangkan satu episod di stesen TV Indonesia, MNCTV sebelum dihentikan tayangannya, baru-baru ini.

"Lain kali sebelum bercakap Zed kena berfikir dulu kerana ini akan menyentuh banyak pihak. Saya nafikan kenyataan yang dikeluarkannya ini.

"Kita tak boleh kata drama Malaysia syok sendiri. Kalau syok sendiri, mana nak dapat drama menarik seperti Nur yang dapat sambutan? Saya buat drama, ia ada penonton sendiri. Janganlah kita bandingkan dengan drama luar seperti Korea Selatan kerana bukan semua karya mereka bagus. Ada yang bagus dan ada yang tidak. Di Amerika Syarikat pun sama," katanya.

Yusof yang pernah mengambil Zed sebagai hero dalam drama Sembilu Kasih terbitannya menganggap tindakan Zed bukan sesuatu yang baik.

"Tidak baguslah kita menghina karya anak bangsa sendiri. Saya tak setuju. Memang ada segelintir drama yang kurang baik tapi kita tak boleh hukum semua sekali dengan kata syok sendiri.

"Pada saya bercakap memang mudah tapi untuk melaksanakan bukan senang. Perkara ini masing-masing ada pro dan kontra. Kita buat sebaik atau seburuk mana pun ada yang sokong dan ada yang tak.

"Bagi saya untuk menggalakkan sesuatu produk kita perlulah ada sikap sokong menyokong. Setiap pengkarya akan cuba buat drama yang terbaik mungkin ikut kemampuan mereka. Kita tak boleh puaskan hati semua orang," katanya.

Dalam pada itu, Yusof turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan beberapa pihak yang melabelkan filem Malaysia sebagai sampah.

"Bukan semua kerana di Amerika Syarikat pun banyak juga filem sampah. Tapi jangan hanya kerana satu dua yang teruk, kita panggil sampah. Kemudian dikecam dengan mencarut-carut. Ini bukan budaya kita. Orang Melayu tak begitu. Harap benda ini takkan berlaku lagi.

"Pada Zed Zaidi, saya hormati dia sebagai Presiden Seniman. Berhati-hatilah sebelum keluarkan kenyataan. Jangan menyinggung perasaan mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu kenyataan Zed turut ditempelak beberapa pelakon lain antaranya Azhan Rani dan Zul Huzaimy.

Zed pula dalam kenyataannya dua hari lalu menafikan kenyataan itu ditujukan kepada drama Nur, sebaliknya secara menyeluruh terhadap drama tempatan yang kurang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:16 PM