Subash (dua dari kiri) dan Beego (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat Seniman.
Subash (dua dari kiri) dan Beego (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat Seniman.

Hulu Klang: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis semalam terhadap pelakon Singapura, Nick Mikael yang memuat naik video ugutan di Facebook kepada Presidennya, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi.

Seniman diwakili Pengerusi Biro Perpaduan dan Antarabangsa Seniman, Datuk S Subash, 36, membuat laporan itu di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

“Dia bukan pertama kali mengugut Zed. Sebelum ini dia pernah membuat ugutan sama apabila Zed bersuara mengenai isu pengacara Najip Ali mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Menurutnya, laporan dibuat sebagai langkah keselamatan.

“Laporan ini tindakan pertama sebelum berlaku perkara tidak diingini yang lain. Saya terpaksa ambil tindakan ini kerana dalam kes sebelum ini, Zed meminta kami biarkan saja,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Biro Penguatkuasaan Perlesenan dan Tatatertib Seniman, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego.

Beego berkata, pada mulanya Zed tidak tahu mengenai video itu dan dia terpanggil membuat laporan kerana itu menjadi tanggungjawabnya.

Menurutnya, pihak Seniman juga akan melanjutkan laporan itu ke peringkat seterusnya.

“Kami juga akan hantar laporan ini kepada Jabatan Imigresen dan badan kerajaan untuk tindakan selanjut.

“Kami akan selidik sekiranya dia ada rekod kesalahan di Malaysia dan apa tindakan yang boleh diambil terhadapnya sekiranya masuk ke negara ini,” katanya.

Menurut Beego, pihaknya juga terbuka untuk proses pendamaian secara baik.

“Jika ada jalan pendamaian, kami terbuka untuk berdamai secara baik. Yang penting, artis luar perlu mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Video ugutan dan kata-kata kesat berdurasi lebih empat minit oleh pelakon terbabit terhadap Zed Zaidi semalam tular selepas dia memuat naiknya secara langsung di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 2:58 AM