Fasha Sandha.
Fasha Sandha.
Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya: Pelakon, Fasha Sandha yang berhadapan kemalangan sehingga cedera di bahagian mata, muncul di acara karpet merah Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS2023) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini. 

Fasha yang tampil berkaca mata hitam ketika ditemui berkata, dia menunggu masa untuk menjalani pembedahan kerana tulang mata yang patah itu, menyebabkan terjadinya darah beku. 

"Mata kiri saya belum sembuh sepenuhnya. Tapi, alhamdulillah saya tetap datang atas tanggungjawab untuk produksi. Sejujurnya, saya hanya jalankan komitmen saya. 

"Kemungkinan kena jalani pembedahan sebab walaupun dari luaran bengkak dah makin surut, tapi, tulang itu patah dan ada darah beku di dalam. 

"Apapun, saya kini sedang menunggu masa sesuai untuk.perlu pastikan bengkak di muka surut dulu," katanya. 

Ditanya sama ada penglihatannya terjejas, Fasha memaklumkan bahawa mata kirinya memang terjejas dan turut memberi kesan lain seperti sakit kepala. 

"Tak selesa langsung. Penglihatan tak berapa jelas di belah kiri, tapi di sebelah kanan tak ada masalah. Bila sakit mata, ia akan berkait dengan kepala," katanya. 

Ditanya sama ada dia akan kembali menjalani penggambaran, Fasha berkata, dia perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. 

"Untuk penggambaran, saya kena dapatkan keizinan daripada doktor sama ada boleh atau tidak untuk kembali bekerja semula," katanya. 

Fasha hadir ke acara TADS2023 dengan ditemani adiknya juga pelakon, Elisya Sandha. 

Terdahulu, Fasha terbabit dalam kemalangan di set penggambaran telefilem berjudul Anak Tuan arahan pengarah Along Kamaluddin, sekali gus cedera di bahagian pipi dan mata kirinya. 

Fasha juga tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Antagonis Terbaik menerusi drama Khilaf Asmara di TADS2023. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 9:27 PM