SHUIB (kanan) merancang untuk mendirikan rumah tangga denganWatie.
SHUIB (kanan) merancang untuk mendirikan rumah tangga denganWatie.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya yang juga ahli perniagaan, Watie Hanafiah, 35, pertengahan tahun ini.

Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad berkata, dia akan berkongsi berita baik itu bila sampai masanya nanti kerana ia masih dalam perbincangan lagi.

"Saya berniat (mendirikan rumah tangga) pada pertengahan tahun ini. Insya-Allah yang terperinci saya akan kongsikan nanti," katanya.

Shuib berkata, dia juga akan membimbing Watie kerana sering mencuri perhatian warganet di media sosial.

"Saya selalu beritahu dia jangan ambil pusing atau baca komen. Kadang-kadang kasihan juga sebab dia bukan selebriti.

"Setakat ini semuanya baik dan saya ada memberitahunya tidak mengapa (jadi perhatian netizen), tetapi saya bimbing awak," katanya.

Dalam pada itu, Shuib lega apabila ibunya, Salamiah Jalani dapat menerima kehadiran Watie dengan baik termasuklah anak bongsunya, Ayash Affan.

"Ayash hanya mahu tiga orang wanita saja iaitu mama, pembantu dan Watie. Sekarang pun Watie yang menjaga Ayash kerana mama kini mengerjakan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 1:05 PM