Zaara Talita


Kuala Lumpur : Isteri kepada pelawak Shuib iaitu Watie Hanifiah menepis fitnah yang bertebaran sebelum ini yang mendakwa mereka menjalin hubungan ketika Allahyarham masih hidup.

Watie atau pemilik nama sebenar, Fati Nimmatul Adawiyah Hanifiah, 35, mendedahkan perkenalan mereka bermula dua bulan selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin iaitu pada Disember 2021.

"Aiyok, tanggunglah dosa siapa yang fitnah tu. Kami tak pernah kenal pun. Dia mengurat selepas dia bergelar duda," katanya menjawab soalan pengikut di Instagram Story.

Reaksi Watie turut disertakan dengan bukti tangkap layar mesej langsung dalam laman sosial daripada Shuib yang meminta nombor telefonnya.

Menerusi perkongsian yang sama, ahli perniagaan itu turut menyatakan Shuib memperkenalkan anak-anak kepadanya dengan cara istimewa.

Shuib meminta Watie mengambil hati anak-anaknya dengan membawa hadiah buat empat permata hatinya.

"Dia buat kejutan, minta saya belikan hamster dan kura-kura untuk anak. Selepas itu hantarkan bawah rumah. Masa ini pertama kali saya tahu alamat rumah dia.

"Sekali bila dah sampai dia kata awak kena bagi sendiri pada anak-anak," kongsinya mengimbas kembali momen itu.

Watie mendirikan rumah tangga dengan Shuib atau Shahmira Muhamad, 38, pada 23 Jun lalu.

Sebelum itu, Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 2011, namun Allahyarham meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 1:25 PM