SHUIB bersama isteri baru, Watie dan anak-anaknya.
SHUIB bersama isteri baru, Watie dan anak-anaknya.
Syafil Syazwan Jefri


Subang Jaya: "Saya mengambil keputusan untuk menjaga anak-anak yang ada," kata isteri Shuib, Watie Hanifiah apabila ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata.

Menurut Watie, dia dan Shuib juga sudah berbincang mengenai posisinya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa.

"Dari awal lagi, memang kami dah berbincang untuk saya menjadi suri rumah sepenuh masa. kalau ada perkara lain, dia akan tentukan," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Shuib juga menjelaskan bahawa tugas Watie sebagai suri rumah tangga dan ibu adalah untuk memberi tumpuan kepada pembesaran anak-anaknya.

"Saya ada beberapa projek besar dalam perniagaan. Saya rasa akan minta bantuan isteri juga, tapi selebihnya saya nak dia beri tumpuan kepada keluarga terutamanya anak-anak.

"Uwais (anak sulung) sekarang sudah masuk 12 tahun dan nak melangkah ke alam remaja. Saya rasa dalam usia anak-anak sekarang, mereka perlukan sentuhan kami selaku ibu bapa," katanya.

Ditanya mengenai anak bongsunya, Ayash Affan, Shuib berkata, ibunya, Salamiah Jalani kini menjaga Ayash.

"Saya dah berbincang dengan emak dan sebelum ini dia pernah berkata, kalau Ayash dah boleh berjalan, dia akan bagi saya jaga. Tapi, sekarang, dia cakap biar Ayash pandai bercakap pula dan dia akan terus menjaganya.

"Saya okay sahaja sebab ibu saya pun selalu datang ke Kuala Lumpur. Kadang-kadang dalam sebulan beberapa kali juga dia ke sini. Jadi, tak mengapa. Saya biarkan dia bermanja-manja dan besarkan cucu dia.

"Uwais pula, rapat dengan datuknya (Raissuddin Hamzah) memandangkan mereka selalu luangkan masa bersama untuk bermain golf dan sebagainya. Kalau dia dengan saya, takut tak sempat juga saya nak bawa dia untuk aktiviti itu," katanya.

Shuib sebelum ini berumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12; Dzahira Talita Zahra, 10; Ariq Matin, 7; dan Ayash Affan, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 1:30 PM