Ewal bersama kumpulan Kristal.
Ewal bersama kumpulan Kristal.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Rasanya saya tak layak nak komen lebih-lebih. Macam Lan, dia tampilkan bekas ahli-ahli yang lama, manakala saya pula bersama dengan Kristal yang ori (asal).

"Kristal ori dianggotai saya, Rody (gitar) Acap (drum) dan Kechiq (bass). Mereka semua dah lama dengan Kristal. Itu saja yang saya boleh komen."

Demikian kata Ewal, penyanyi kumpulan Kristal mengenai kewujudan sebuah lagi kumpulan Kristal yang dikenali dengan Kristal X.

Kumpulan Kristal X dianggotai oleh penyanyi asal Kristal iaitu Razlan atau Lan serta dianggotai bekas anggota asal Ainul (drum), Ezal (bass) serta seorang anggota baru, Napie (gitar).

Ewal, 31, berkata, dia asalnya hanya menjadi penyanyi undangan untuk show kumpulan Kristal selepas pengunduran Razlan dari kumpulan terbabit.

"Memandangkan sambutan yang bagus dari peminat, Rody menawarkan untuk saya kekal bersama mereka. Bagi saya ia satu tawaran yang bagus.

"Saya akan teruskan perjuangan dengan Kristal. Kita kini sudah berada dalam fasa yang lebih matang.

"Bukan nak cari siapa yang lebih popular atau sebaliknya. Kita nak kekal relevan sampai bila-bila. Orang boleh pilih nak Kristal yang mana. Rezeki masing-masing," katanya ketika ditemui pada sidang media Fiesto Fest @ Penang 2.0 baru-baru ini.

Ewal atau nama penuhnya Ikhwal Hafiz Ismail juga berkata, dia kini mahu memberi tumpuan mengumpul wang serta terus memberi komitmen pada kerjaya seni.

"Di usia 30 ini banyak perkara perlu saya bagi tumpuan penuh kerana selain bersama Kristal saya turut aktif menerbitkan lagu penyanyi lain.

"Saya kini bertindak sebagai penerbit menerbitkan lagu untuk ramai artis lain antaranya ayah saya Mel dan Ronnie Hussein.

"Saya serius dalam bekerja. Kena juga kumpul duit, beli aset seperti rumah," katanya.

Kristal bersama ramai penyanyi termasuk Azlan Typewriter, Ronnie Hussein, Baby Shima, Dinamik, Klangit, Asheed Def Gab C, Akar Band, Saja, Leyca dan D_va akan terbabit mengadakan persembahan di Fiesto Fest @ Penang 2.0 di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:40 PM