KRISTAL dianggotai (dari kiri) Acap, Ewal, Kechiq dan Rody kini muncul dengan single terbaharu, Cukup Aku Saja.
KRISTAL dianggotai (dari kiri) Acap, Ewal, Kechiq dan Rody kini muncul dengan single terbaharu, Cukup Aku Saja.
Norhayati Nordin


Walaupun sudah menghasilkan tiga lagu bersama Kristal sebagai penyanyi baharu kumpulan itu sejak 2020 lalu, Ewal Ismail, 30, tetap akur yang dirinya masih terus menjadi 'perbandingan' oleh segelintir pendengar.

Tetap melihat positif dan lali dengan pelbagai tanggapan dan komen dilemparkan kepadanya, Ewal atau nama sebenarnya Ikhwan Hafiz Ismail enggan terlalu memikirkan semua itu.

Ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Cukup Aku Saja, Ewal berkata, dia akan terus bergerak bersama Kristal sebagai penyanyi kumpulan itu apatah lagi, Kristal mempunyai beberapa projek rakaman lagu baharu.

"Saya tidak berkecil hati pun apabila terus dibanding-bandingkan dengan penyanyi lama oleh segelintir pendengar. Bagi saya, ia adalah biasa. Bagaimanapun, tak dinafikan Kristal masih mencari rentak sebenar kami.

"Apa-apa pun, kami juga sentiasa bersedia mencuba perkara baharu sebagaimana yang dipersembahkan untuk single Cukup Aku Saja. Ia secara tidak langsung menunjukkan Kristal yang sekarang lebih 'versatile' dalam pelbagai genre lagu," katanya.

Menurut Ewal, walaupun Kristal sudah sinonim dengan lagu rock, mereka masih boleh mendendangkan lagu genre lain mengikut kesesuaian cerita terutama apabila karya dirakam itu terpilih menjadi lagu tema (OST) drama di televisyen.

Berbicara lanjut mengenai single Cukup Aku Saja, Ewal berkata, Kristal amat berbesar hati apabila mendapat kepercayaan merakamkan lagu itu yang dipilih sebagai OST untuk drama Air Mata Allisya disiarkan TV9.

"Saya melihat ia peluang terbaik Kristal dalam usaha mengukuhkan semula nama kami dalam industri hiburan selepas apa yang berlaku sebelum ini. Ditambah, dalam tempoh dua tahun ini perjalanan karier kami juga agak perlahan kerana penularan Covid-19.

"Jadi, memandangkan sekarang memasuki fasa endemik semestinya Kristal perlu rancak mengatur kembali langkah kami. Syukur tiba-tiba bos nampaknya nak beri pelbagai projek untuk Kristal tahun ini.

"Selain rezeki merakamkan lagu untuk OST drama, jika tiada aral selepas ini kami bakal rakamkan lagu baharu dengan seorang penyanyi legenda pula. Tapi, siapakah penyanyi berkenaan, belum diputuskan lagi.

"Sekiranya saya 'disatukan' menyanyi dengan bapa, Mel (Wings), boleh juga. Saya sentiasa bersikap terbuka dan tak mahu lepaskan peluang. Lagipun, bapa saya pernah dikenali ketika dia bersama Wings dulu," katanya.

Ewal berkata, dia juga berterima kasih dengan peminat setia Kristal yang terus menyokongnya. Jelasnya, dia akan terus bekerja keras bagi memastikan perjungan muzik Kristal terus berjalan. Malah, dia juga selesa bersama kumpulan ini.

Selain Ewal, Kristal juga dianggotai Rody sebagai pemain gitar utama, Kechiq (bass) dan Acap (dram). Dua lagi single baharu Kristal yang sudah dilancarkan sebelum ini ialah Bosan pada 2020 dan Terpisah (2021).

Lagu Cukup Aku Saja yang lebih 'catchy' liriknya diyakini boleh diterima baik pendengar termasuk diharapkan mesra radio. Hingga kini video muzik rasmi Cukup Aku Saja di YouTube sudah mencatat 97,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:50 AM