PUTERI SARAH
PUTERI SARAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes saman Puteri Sarah Liyana terhadap bekas madunya, Ira Kazar dan dua ahli keluarganya berhubung gangguan orang ketiga diselesaikan secara baik di luar mahkamah hari ini.

Mengesahkan perkara itu, peguam pelakon itu, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berkata, perkara itu dimaklumkan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani.

Menurutnya, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan dicapai antara Puteri Sarah, 38, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif dengan Ira Kazar atau Faghira Fatini Kazaruddin, 28, selaku defendan.

"Mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak (Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar) pada hari ini di mana mereka menyelesaikan kes secara damai di luar mahkamah.

"Ada perkara yang sulit untuk didedahkan, jadi kes ini diselesaikan secara baik. Kes selesai. Saya mewakili Puteri Sarah selaku plaintif, manakala Ira Kazar sebagai defendan diwakili peguam, Ammar Ghalip," katanya.

Pada 14 Jun lalu, kemelut rumah tangga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah berakhir apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Syamsul atau nama penuhnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada Jun tahun lalu, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita yang didakwa kekasih (ketika itu) Syamsul, Ira Kazar.

Puteri Sarah dilaporkan berkata selepas hampir empat tahun menahan sabar dan menanggung derita, dia akhirnya bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.

Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan isteri pertama Syamsul itu.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk 'meletak titik noktah' pada teka-teki perhubungannya dengan Ira, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 2:55 PM