Alexander Zverev puas menjerit selepas mara ke final Terbuka Itali. FOTO Agensi
Alexander Zverev puas menjerit selepas mara ke final Terbuka Itali. FOTO Agensi
Agensi

Rome: Bekas juara Alexander Zverev bangkit daripada permulaan longlai untuk menewaskan 'pembunuh gergasi' dari Chile, Alejandro Tabilo 1-6 7-6(4) 6-2 untuk mara ke final saingan tenis Terbuka Itali.

Pilihan ketiga dari Jerman itu, yang memenangi kejuaraan pada 2017 dan mara ke final pada tahun berikutnya, kelihatan dalam bahaya apabila pilihan ke-29 Tabilo memenangi set pertama.

Tabilo yang mengejutkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di pusingan ketiga dan tampil buat pertama kali di separuh akhir ATP Masters 1000 itu dilihat cukup yakin mampu menewaskan Zverev di awal set itu.

Begitupun, Tabilo gagal mengekalkan rentaknya pada baki set berikutnya apabila Zverev tampil lebih tenang untuk memenangi baki saingan.

"Bukan mudah mengatasi Tabilo yang nyata berada pada prestasi terbaik ketika ini. Kejayaan dia menewaskan nama-nama besar memberi keyakinan yang baik kepadanya.

"Tapi saya berjaya mengawal emosi dan cuba bermain seperti biasa. Ia kebangkitan menakjubkan dan saya tidak sabar beraksi di final nanti," kata Zverev.

Zverev akan berdepan Nicolas Jarry yang turut melepasi halangan separuh akhir selepas menewaskan Tommy Paul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 1:06 PM