DJ Lin dimasukkan ke hospital kerana mengalami bengkak dan benjolan di peha kanan.
DJ Lin dimasukkan ke hospital kerana mengalami bengkak dan benjolan di peha kanan.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Penyampai radio popular, DJ Lin dimasukkan ke pusat perubatan, di sini, kerana mengalami bengkak dan benjolan di peha kanannya sejak Selasa lalu.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata, dia terpaksa mendapatkan rawatan kerana berasa sakit kepala dan demam akibat benjolan di peha kanannya itu.

"Ia mula dirasai sejak enam hari lalu. Pada mulanya, saya fikir ia hanya bengkak sikit saja tapi dalam tempoh beberapa hari, bengkak itu semakin membesar dan mula berasa sakit serta bisa-bisa. Saya mula berasa tidak selesa bila bergerak atau berjalan," katanya kepada Harian Metro.

Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM berkata, doktor juga sudah memberikannya antibiotik dan ubat tahan sakit.

"Saya sudah buat ujian ultrasound semalam dan doktor beritahu keadaan bengkak di pehanya itu juga teruk. Saya juga berasa pelik, bengkak sebesar bola golf itu baru enam hari tapi ia cepat membesar dan sangat berbisa," katanya.

Menurut Lin, doktor juga masih belum dapat mengesan punca bengkak itu.

"Doktor masih teruskan rawatan dengan ubat antibiotik dan tahan sakit yang paling kuat serta ubatan lain. Saya akan ditahan di wad dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi sehingga bengkak itu surut dan pulih," katanya.

Sebelum ini, Lin dimasukkan ke hospital kerana muka dan badannya bengkak teruk kerana alahan pada ubat tahan sakit pada Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 11:02 AM