Keadaan DJ Lin makin stabil
Keadaan DJ Lin makin stabil
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyampai radio, DJ Lin, terpaksa 'melarikan' diri dari hospital kerana terlalu banyak urusan kerja yang tertangguh.

Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta itu berkata, dia bagaimanapun harus terus mengambil ubat yang dibekalkan pihak hospital dan menjalani rawatan susulan.

"Saya terpaksa 'lari' juga dari wad dan minta izin daripada doktor sebab terlalu banyak urusan kerja lebih-lebih lagi menjelang hujung tahun ini.

"Kiranya, saya dapat izin balik ke rumah, tapi bersyarat. Saya kena teruskan mengambil ubat dan ikut rawatan yang diajar untuk dilakukan di rumah," katanya.

Tambah Lin yang menghidap bronkitis sinus dan dimasukkan ke hospital pada pertengahan bulan lalu, keadaannya semakin stabil, namun belum pulih sepenuhnya.

"Keadaan saya semakin baik, cuma belum sihat sepenuhnya. Seperti biasa, saya akan terus berikan yang terbaik kepada pendengar.

"Insya-Allah, kami akan tampil dengan lebih segar dan baharu. Nantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:45 PM