Qi Razali
Qi Razali
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pemain dram OAG, Qi Razali mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan rock alternatif popular itu selepas 30 tahun bersama.

Qi menerusi Twitter memaklumkan, Konsert 30 Tahun Generasiku OAG yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini adalah persembahan terakhirnya bersama OAG.

Qi yang juga pelakon dan pengacara berkata, tindakan yang diambil demi kebaikan dirinya.

"Okay baiklah, cukuplah OAG, ini adalah Qi lagi. Saya sudah membuat keputusan dan hati saya. Itulah persembahan terakhir saya untuk OAG.

"Pilihan jalan hidup yang mendorong aku buat keputusan ni. Band tu tetap akan terus wujud jangan risau. Kekuatan band tu bukan pada pemain dram.

"Jadi, boleh saja ganti mana-mana pun. Pilihan aku adalah untuk kebaikan aku. Kalau korang 'support' kerjaya aku, 'support' la langkah aku kali ni," tulisnya.

Walaupun sedih dengan keputusan itu, namun rata-rata netizen berkata mereka tetap akan menyokong pengacara berusia 45 tahun itu.

Sementara itu, Qi ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan kepada media berhubung pengundurannya itu.

Katanya, dia akan berjumpa dengan semua anggota OAG esok.

Selain Qi, OAG dianggotai Radhi selaku penyanyi. Dalam konsert yang berlangsung pada 25 Disember itu, mereka turut disertai Ammal Bellamy (gitar) dan Nazrin Zabidi (bass).

Pada malam itu, empat anggota OAG menyanyikan semula lebih 20 lagu yang pernah dihasilkan sejak mula bertapak dalam arena muzik tempatan pada 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 4:09 PM