Georgie Joseph


PELAKON, pengacara dan anggota OAG, Qi Razali mengakui ada perancangan untuk ke fasa pertunangan dengan kekasihnya, Nia Atasha Rosli, 22.

Qi, 40, berkata perbincangan untuk ke fasa memang sudah dibuat dan dia juga menyatakan keinginannya mahu berkeluarga.

“Perbincangan mengenai mahu bertunang itu memang sudah ada namun belum menetapkan sebarang tarikh. InsyaAllah, dalam tahun ini.

“Teringin juga berkeluarga dan memiliki zuriat. Lihat Radhi sendiri pun sudah ada tiga anak.

“Disebabkan itulah sekarang ini agak terkejar-kejar dengan pelbagai hal dan buat masa ini saya sendiri mahu fokus terhadap kerjaya OAG dulu sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Qi bagaimanapun belum mahu berbicara mengenai fasa seterusnya iaitu pernikahan.

Tahun lalu, pengacara berkenaan mendedahkan dia berkawan rapat dengan pereka grafik ilustrasi serta model sambilan itu.

Qi berkata dia mengenali wanita kelahiran Kuala Lumpur itu di sebuah acara di Ipoh, Perak awal tahun lalu.

Dia pernah bercinta dengan pelakon Nelydia Senrose bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak terlalu terbuka menceritakan hubungannya dengan buah hati baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:15 PM
Qi Razali (kanan) mahu bertunang dengan Nia. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Qi Razali (kanan) mahu bertunang dengan Nia. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN