Ruhainies.
Ruhainies.

Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies, 30, mendedahkan dirinya pernah diminta barangan mewah oleh seorang individu berpengaruh dalam industri seni sekiranya mahu dipilih menjayakan sebuah projek drama. 

Ruhainies berkata, dia tidak percaya apabila amalan sogokan berlaku kepada dirinya sehingga namanya disenarai hitam.

"Budaya sogokan atau rasuah ini sudah lama diamalkan dalam kalangan industri seni, tapi kejadian ini baru berlaku kepada saya tahun ini. 

"Sebelum ini apabila orang bercerita, saya tak percaya kerana tak berlaku pada diri sendiri sehinggalah terjadi depan mata saya. 

"Sekarang ini saya memilih untuk mengunci mulut sebab saya tak nak menutup periuk nasi individu itu walaupun sekarang ini saya sudah disenarai hitam. 

"Individu ini memiliki kuasa di sebuah syarikat. Sebelum ini orang disekeliling saya pernah hadapi situasi sama dan ada juga pihak yang minta buat laporan sebab saya ada bukti, tapi saya tidak sampai hati kerana masih fikir masa depannya," katanya.

Terdahulu, Ruhainies ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes Four Season Place, baru-baru ini.

Menurut Ruhainies, sebagai pelakon dia enggan menjadikan amalan buruk itu sebagai satu budaya ikutan kerana mampu merosakkan industri seni. 

"Saya tidak melayan permintaannya sebab saya tak mahu amalan ini berterusan. Walaupun mereka sudah menormalisasikan budaya ini, tapi saya tak nak. 

"Jadi saya perlu menghentikan budaya ini, bukan untuk diri saya saja tapi untuk bakat-bakat dan penerbit baharu yang nak meningkat naik. 

"Lagipun, ia boleh menjadi satu budaya yang tidak sihat dalam kalangan penggiat industri kreatif. 

"Saya pun mungkin tidak lama berada dalam industri seni, jadi saya perlu bertindak dan melindungi penggiat seni yang teraniaya," katanya. 

Terdahulu Ruhainies pernah meluahkan rasa kurang senang apabila budaya rasuah bukan saja berlaku dalam industri sukan, malah berlaku dalam industri seni. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:57 PM